PRN Johor: 'Jangan heret isu nasional ke negeri ini' - Bastien

Astro Awani
Februari 21, 2022 09:20 MYT
Bastien (tengah) ketika menghadiri program motosikal bersama anak muda di Kampung Tambang, Segamat pada Ahad. - Foto Pemuda UMNO Segamat
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta tidak mengheret atau membuat sebarang perkongsian berkenaan isu nasional semasa tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga perlu mengingat kembali beberapa isu nasional melibatkannya semasa berada di dalam Kabinet sebelum ini.
'Dia cuba menggambarkan seolah-olah Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada campur tangan dalam beberapa isu semasa pentadbirannya. Dia lupa, ada menteri Pakatan Harapan (PH) yang dihentikan perbicaraan semasa mereka berkuasa satu masa dahulu. Pada masa itu Muhyiddin adalah sebahagian daripada Kabinet berkenaan.
"Saya juga ingin bertanya apa pula kesudahannya dengan kes melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali? Mohamed Azmin juga Ahli Parlimen Bersatu.
"Jadi saya nasihatkan Muhyiddin ini untuk tidak lagi membawa isu nasional ke dalam negeri Johor. Jangan ganggu fokus rakyat untuk memilih pemimpin negeri," katanya semasa dihubungi pada Isnin.
BACA: PRN Johor: Zahid Hamidi nafi bawa fail jumpa Muhyiddin, cabar buat sumpah laknat
BACA: Muhyiddin tidak berniat persenda nama bapa Ahmad Zahid
Terdahulu, Bastien menghadiri program motosikal bersama anak muda di Kampung Tambang, Segamat.
Sebelum ini, Muhyiddin mengulangi dakwaannya bahawa dua pemimpin kanan UMNO cuba meminta beliau untuk berbuat sesuatu tentang kes mahkamah yang mereka hadapi.
Menamakan dua pemimpin itu sebagai Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi PN itu berkata, beliau enggan melayani permintaan itu kerana tidak mahu mencampuri urusan mahkamah.
Susulan keengganannya itu, Muhyiddin mendakwa beliau hilang jawatan Perdana Menteri, selepas Ahmad Zahid mengetuai 15 Ahli Parlimen UMNO, menarik balik sokongan dalam Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat berkata, rakyat negeri itu akan menentukan pilihan mereka dengan fokus diberikan kepada isu kesihatan, ekonomi dan pentadbiran yang bersih.
"Barisan Nasional (BN) akan membawa negeri ini ke era baru. Potensi negeri akan diserlahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad apabila diberi mandat semula nanti. Perancangan kukuh beliau akan memastikan negeri akan lebih maju," ujarnya.
Ekonomi gig sepatutnya pekerjaan sementara, pendapatan tambahan - MB Johor
#PRN Johor #Johor Memilih #Muhyiddin Yassin #bastien onn
;