PRN Johor: Jangan cemari semangat PH kerana tuntutan kerusi - PKR Johor

Fareez Azman
Februari 18, 2022 15:41 MYT
Syed Ibrahim berkata, rundingan antara dua parti itu tidak dapat diteruskan gara-gara MUDA menolak kerusi ditawarkan PKR kepada parti itu. - Facebook Syed Ibrahim Syed Noh
KUALA LUMPUR : Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh hari ini mengingatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar tidak mencemari semangat kesepakatan pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) gara-gara tuntutan kerusi.
Tegasnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat, rundingan antara dua parti itu tidak dapat diteruskan gara-gara MUDA menolak kerusi ditawarkan PKR kepada parti itu.
Malah keadaan menjadi sulit apabila parti itu juga menuntut kerusi yang di luar tawaran PKR.
“Saya telah teliti kenyataan oleh Presiden MUDA hari ini. Suka saya sebutkan sekali lagi, bahawa siri rundingan bersama MUDA telah dilakukan beberapa kali dengan secara jujur dan terbuka dalam semangat kebersamaan pembangkang di Johor.
“Namun tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR telah ditolak dan MUDA masih menuntut kerusi yang lain daripada tawaran.
“Ia turut menjadi sulit apabila kerusi yang 'dituntut' merupakan kerusi bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR. Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan,” jelasnya.
Sebagai anggota komponen Pakatan Harapan (PH), ujar Syed Ibrahim, PKR sentiasa berpegang kepada muafakat dan setiakawan tanpa ugutan atau ancaman.
“Sejak pembangkang bersama, sama ada semasa Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau PH, semangat ini tetap dipegang tanpa pertindihan kerusi demi pembelaan rakyat dan masa depan negara.
“Janganlah dicemari semangat tersebut demi tuntutan semata-mata.
“Tumpulah kepada kerusi yang ditandingi untuk membela rakyat dan membawa masa depan serta maruah Johor dan rakyatnya,” jelasnya lagi.
#PRN Johor #PKR #muda #tuntutan kerusi
;