PRN Johor: Jalan di Mersing 'buat kepala jadi pusing'
Hilmi Malik
Mac 6, 2022 16:15 MYT
Mac 6, 2022 16:15 MYT
MERSING : Tidak guna jika terlalu sibuk memikirkan soal pembangunan lanjutan dan tumpuan untuk memajukan Mersing sebagai hab pelancongan sekiranya keadaan kemudahan asas seperti jalan raya tidak menepati piawaian sepatutnya.
Bukan tidak mahu membangkitkan lagi isu berkenaan, namun realitinya penduduk sendiri sudah jemu, bosan dan penat memikirkan tindakan ‘melepaskan batok di tangga’ oleh pihak yang sepatutnya menangani masalah tersebut.
Mersing mungkin terkenal dengan gelaran bandar pelancongan atau 'pintu ke pulau peranginan', akan tetapi situasi itu pasti mengejutkan pengunjung kali pertama. Tentu dalam fikiran mereka, 'adakah benar keadaan jalan raya sebegitu?'
Sudahlah permukaan jalan tidak rata, jalan yang berlubang pula hanya ditampal 'ala kadar'. Itupun dikira beruntung sekiranya tampalan berkenaan mampu bertahan lama ekoran jalan berkenaan sering digunakan pengangkutan berat.
Bagi mereka yang pertama kali melalui jalan raya di Mersing, pengalaman menaiki kenderaan tidak ubah seperti sudahpun berlayar di laut dan menerjah ombak.
Memikirkan faktor fizikal jalan itu, sudah semestinya mencetuskan kebimbangan buat mereka yang menitikberatkan kesan buruk terhadap kenderaan mereka.
Kekhuatiran itu bagaimanapun seakan-akan 'tidak dirasai' penduduk setempat yang sudah lama berhenti berharap dan pasrah dengan realiti laluan harian mereka.
Jika memikirkan soal keuntungan, kadar kenderaan yang terjejas di laluan itu sememangnya mendatangkan rezeki yang lumayan buat Haroof Sulaiman yang bekerja sebagai penunda kenderaan.
Bagaimanapun, dia adakalanya menerima panggilan pada awal pagi untuk mendapatkan perkhidmatan tarik kereta disebabkan insiden tayar pecah, kemalangan, dan sebagainya.
“Kalau secara keseluruhan memang teruk jalan raya di Mersing ni… Kalau kata nak jadi bandar pelancongan, pelancong pun fikir banyak kali nak datang kalau keadaan jalan macam ni.
“Laluan ni memang selalu berlaku kemalangan... dengan kereta rosak langgar lubang, tayar pancit semua. Saya tahu sebab kita kerja tarik kereta.
“Mana-mana jalan pun kita lalu mesti ada saja jalan tampal... boleh tengok sendiri dekat mana je yang tiada jalan tampal,” katanya ketika meluahkan isu itu kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Melihat kepada isu sebelum ini berkaitan kekurangan pakar di Hospital Mersing, laluan tersebut juga menjadi 'medan ujian sengsara' buat pesakit yang menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan di bandar.
Menurut penduduk, Ahmad Sofi Daud, ambulans tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menempuh laluan tersebut untuk membawa pesakit.
“Memang mengganggu sebenarnya kelancaran nak hantar pesakit dengan keadaan jalan tak berapa elok... pesakit mesti tak selesa.
“Cukuplah sekadar dapat turap balik jalan ni, selenggara semula dan lebarkan jalan... sebab bila malam memang agak bahaya,” katanya.
Tidak cukup dengan keadaan jalan yang tidak sekata, lebih memburukkan situasi, wujud pula selekoh maut melibatkan laluan di Jalan Mersing menuju ke Felda Nitar.
Selekoh maut itu hanya menanti waktu kehadiran mangsa seterusnya, terutamanya di sebelah malam yang gelap-gelita akibat ketiadaan lampu jalan.
Tidak hairanlah jika penduduk tempatan seperti Azman Yusop kerap menyaksikan insiden kemalangan, termasuk kes baru-baru ini yang telah meragut nyawa.
“Memang tak sesuai laluan ni... dengan tiada lampu, selekoh pula tajam, dan tak letak papan tanda amaran. Memang bahaya!
“(Ada) selekoh ni terlalu tajam, jadi kita mintalah pihak yang berkenaan ambil perhatian isu ini supaya tak kerap berlaku kemalangan,” ujarnya.
Menyedari isu-isu lain yang berbangkit di Mersing, isu jalan raya antara perkara yang menjadi tuntutan tertinggi dalam kalangan penduduk yang dahagakan perubahan sejak sekian lama.
Persoalannya, adakah mampu hasrat mereka ini ditunaikan atau masih kekal sebagai janji-janji yang tidak terlunas.
Mereka yang ditemui sebenarnya tidak mengharapkan pembangunan yang gah di Mersing, namun sudah cukup memadai sekiranya isu jalan raya dapat diangkat demi kesejahteraan penduduk setempat.
Astro AWANI akan membawakan laporan khas berhubung isu jalan di Mersing menerusi AWANI745 malam ini.