PRN Johor: 'Jadi sia-sia, sekiranya kerajaan gagal diangkat semula' - Tun M

Abdul Hadi Che Awang
Mac 9, 2022 12:28 MYT
Dr Mahathir berkata jika orang yang lama dan gagal memerintah Johor dipilih semula, sia-sia sahaja ada PRN. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
LANGKAWI: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan lebih awal berbanding tarikh asalnya akan menjadi sia-sia sekiranya kerajaan yang gagal, kleptokrat dan tidak berintegriti diangkat semula.
Sehubungan itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa penyertaan parti itu di dalam PRN kali ini adalah bagi membuka dimensi baharu politik Johor dengan tawaran sebuah pentadbiran kerajaan yang lebih baik dan bersih.
"Kalau Pilihan Raya Negeri Johor ini, orang yang lama dan gagal memerintah Johor dipilih semula, sia-sia sahaja ada PRN.
"Sepatutnya bila ada PRN bukan mengikut jangka masa (asal atau dibuat lebih awal ini), mesti ada pertukaran kepada (parti atau kerajaan) yang mampu memberi pentadbiran yang lebih baik,
"(Oleh itu), kita tawarkan Pejuang kerana (di dalam) Pejuang ada pemimpin yang ada pengalaman dalam membangunkan negara tetapi calonnya adalah orang yang tidak terlibat dalam rasuah (dan) bersih.
"Mereka (ini) kalau menang boleh bagi satu pentadbiran yang berpengalaman dan rajin (untuk) hendak betulkan keadaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di Lang Agro Park sempena Program #PulangKeLangkawi pada Rabu.
Mengulas mengenai kenyataannya berhubung terdapat beberapa parti yang 'sebulu' dengan Pejuang terutama melibatkan prinsip menolak rasuah, Dr Mahathir memaklumkan bahawa tidak boleh mendedahkan lagi parti-parti berkenaan.
Ia susulan terdapat pertembungan berlaku membabitkan Pejuang dan parti yang dimaksudkan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor kali ini.
"Kita tidak boleh nak dedah, kadang-kadang (saya lihat senarai calon) kita hendak bertanding lawan mereka (di DUN-DUN tertentu), sebab itu kita tidak namakan (parti itu)," jelasnya.
Khamis lalu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengakui 'sebulu' dengan beberapa parti dan bersedia bekerjasama dengan mereka untuk mencukupkan kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri Johor.
Pengerusinya, Dr Mahathir berkata, bagaimanapun persetujuan itu perlu berlandaskan kepada prinsip sama iaitu parti tersebut menolak peperangan dan rasuah.
PRN Johor akan menjadi medan pertama Pejuang menguji kekuatan selepas diluluskan pendaftarannya tahun lalu di mana parti itu akan mengetengah seramai 42 calon.
#PRN Johor #Johor Memilih #Mahathir Mohamad #kleptokrat
;