PRN Johor jadi medan ujian kekuatan parti politik - Merdeka Centre
Fareez Azman
Januari 27, 2022 19:12 MYT
Januari 27, 2022 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Sebarang jangkaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat lebih rumit daripada PRN Melaka yang berlangsung pada November lalu.
Menurut Pengurus Kanan Penyelidikan Merdeka Centre, Seng Keat Tan, dinamika politik yang berlaku di negeri itu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, sukar dijangka.
Malah tambahnya, PRN kali ini menjadi medan ujian kekuatan setiap parti politik bertanding, sama ada secara solo ataupun menjalin sebarang bentuk kerjasama.
"Sekarang sampai penamaan calon... banyak mesyuarat perbincangan antara parti, baik Bersatu, Muda, PH, Pejuang, Warisan, dan BN. Mereka berbincang macam mana dapatkan satu formula lebih baik untuk parti masing-masing.
"Adakah parti A akan bekerjasama dengan parti B, jadi lebih baik atau dengan parti C, macam itu. Atau ada (pertembungan) kerusi yang dua penjuru, ada tiga penjuru atau ada kerusi empat penjuru dan akan beri kelebihan kepada parti tertentu.
"PRN kali ini lebih rumit dan menarik. Selain parti politik, ada banyak faktor calon atau pemimpin sebab di Johor banyak pemimpin berwawasan jadi Menteri Besar, atau nak cuba nasib dalam PRN kali ini," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.
Mengulas mengenai penggunaan logo parti yang bertanding pula, jelas Seng, ia menunjukkan bahawa PRN negeri itu akan menjadi medan ujian parti politik sebelum melangkah ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
"Isu tentang logo banyak orang bincang lepas PRN Melaka, tetapi isu ini kita lihat kembali PRN Sabah pada tahun 2020 di mana DAP guna logo Warisan untuk bertanding, tapi PKR guna logo partinya untuk bertanding.
"Isu logo ini bukan hari ini sahaja, sudah berlaku pada tahun 2020. Isu di Sabah dan Sarawak mungkin berlainan tapi di Melaka kita nampak keputusan untuk PH.
"Ada sesetengah pemimpin rasa lebih baik guna logo yang lama dan ramai orang tahu. Tapi di Johor ini mungkin last testing ground untuk parti tertentu supaya mereka buat keputusan dalam PRU akan datang - hendak guna logo mana, adakah logo masing-masing atau logo gabungan PH," jelasnya.
Dari sudut Barisan Nasional (BN) pula katanya lagi, sudah jelas akan menggunakan logo gabungan itu sejak beberapa siri pilihan raya.
Bagaimanapun jelasnya, pembahagian kerusi antara komponen parti menjadi tanda tanya.
"BN stabil hanya logo dacing, tapi apa formulanya? Adakah UMNO akan bertanding lebih kerusi, di mana komponen parti seperti MIC dan MCA akan diberikan kerusi yang kurang selesa, kita masih meneliti.
"Tapi untuk Pas ada kekuatan... iaitu ia ada penyokong tegarnya, tapi di Johor agak kurang tak sampai 10 peratus daripada pengundi Melayu.
"(Pas) mungkin tak terkesan tentang logo atau bergabung dengan siapa, tapi parti Melayu lain rasa masing-masing ada kekuatan, (maka) tak berapa nak berunding dengan Pas sebab ini negeri Johor.
"Saya rasa PRN Johor ini last testing ground untuk jajaran mana - PH Plus, BN atau PN 2.0 ke macam mana nanti. Kita kena tengok apa akan berlaku dalam perbincangan parti politik," ujarnya lagi.