PRN Johor: Isu peluang pekerjaan dapat diatasi jika politik stabil Saravanan

Hilmi Malik
Mac 5, 2022 15:00 MYT
Saravanan berpendapat usaha kerajaan akan menjadi terbantut jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakyat kerana tugas itu tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. - Foto Astro AWANI
MERSING: Isu kekurangan peluang pekerjaan anak muda di Johor dapat diatasi sekiranya turut mengambil kira soal kestabilan politik.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerajaan sememangnya telah membuka tawaran kerja yang berlebihan khususnya terhadap golongan muda tempatan.
Tambah beliau yang juga Timbalan Presiden MIC, platform Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 misalnya menawarkan pelbagai peluang bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat selain menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan di seluruh negara.
“Di Johor kalau kita lihat tiada kestabilan politik dan pelaburan asing juga kurang sejak kebelakangan ini.
“Jika politik di Johor kembali stabil maka pelabur kembali bertapak dan ini secara automatik menambah peluang pekerjaan anak muda,” katanya ketika ditemui di Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tapah itu juga berpendapat, usaha kerajaan akan menjadi terbantut jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakyat kerana tugas itu tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata.
“Tak guna kalau asyik persoal tentang peluang pekerjaan, isu pengangguran tapi tiada sokongan dan keikhlasan rakyat untuk stabilkan politik.
“Apa yang saya lihat di Johor rakyat semakin sedar tentang keperluan untuk pastikan kestabilan politik.
"Apa yang saya lihat sekarang di semua kawasan Johor rakyat sudah mula sedar akan keperluan untuk menjamin kestabilan politik," katanya lagi.
Selain itu, Saravanan berpendapat, pengalaman yang diperoleh BN mentadbir negara selama 63 tahun itu mampu menyelesaikan segala kemelut yang timbul dan berbeza dengan kerajaan sebelum ini yang lebih kepada perpecahan.
“Kalau di sebelah sana (pembangkang) tak sampai tiga tahun dah berpecah belah susahkan rakyat dan saya yakin rakyat Bangsa Johor mula sedar dan matang untuk buat pilihan, ini akan jadi mesej jelas buat seluruh negara nanti,” ujarnya lagi.
#PRN Johor #Saravanan #Barisan Nasional #kestabilan politik #peluang pekerjaan
;