PRN Johor: Hasrat BN rampas Endau terkubur, Alwiyah berjaya pertahan kerusi
Hilmi Malik
Mac 12, 2022 22:21 MYT
Mac 12, 2022 22:21 MYT
MERSING: Misi Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau tidak kesampaian apabila calonnya Mohd Youzaimi Yusof tewas terhadap calon Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib dengan jumlah undi keseluruhan sebanyak 8,433.
Alwiyah yang juga penyandang kerusi tersebut sebelum ini, meninggalkan Youzaimi di belakang dengan jumlah majoriti sebanyak 3,041 undi.
Manakala Youzaimi mencatatkan jumlah undian sebanyak 5,392.
Keputusan ini secara tidak langsung memberikan tamparan hebat terhadap BN apabila pengundi di kawasan itu telah beralih kepercayaan terhadap PN.
Selain itu, Alwiyah turut memintas calon lain di merebut kerusi tersebut yang terdiri daripada Mohamad Fakrulradzi Mahmud (Pakatan Harapan; 1,154 undi), Mohd Norhiysam Ibrahim (Pejuang; 145 undi) dan calon Bebas, Ismail Don (77 undi).
Kemenangan Alwiyah bagi kerusi DUN Endau sekali gus menjawab teka-teki politik di kawasan itu yang sebelum ini penuh dengan kontroversi dan percaturan politik.
Sebelum ini, penganalisis politik berpendapat, keberadaan Youzami untuk bertanding di kerusi itu hanya kelihatan kukuh apabila mewakili parti gergasi berbanding Alwiyah yang lebih tertumpu kepada personalitinya selain prestasi cemerlang yang ditunjukkan sebelum ini.
Meskipun membuat keputusan untuk menyertai Bersatu selepas menang atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, Alwiyah ternyata mampu meraih kepercayaan pengundi berdasarkan rekod cemerlang beliau sebelum ini.
Youzaimi sebelum ini menegaskan kerusi tersebut sememangnya bukan milik Bersatu selain menyifatkan DUN Endau merupakan kubu kuat BN.