PRN Johor: Hasni berdepan saingan empat penjuru
Hasimi Muhamad
Februari 26, 2022 11:06 MYT
Februari 26, 2022 11:06 MYT
PONTIAN: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berdepan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Benut Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Hasni, 63 tahun, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor akan ditentang Ahli Dewan Negara Senator, Datuk Isa Ab Hamid daripada Perikatan Nasional (PN).
Dua lagi calon yang bakal memberi saingan kepada penyandang kerusi sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) itu ialah Iskandar Noor Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Haniff @ Ghazali Hosman daripada Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.53 Benut, Mohd Rafi Abdullah ketika mengumumkan senarai calon pada pukul 10.43 pagi tadi.
Terdahulu, Isa selesai menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi.
Ia kemudian diikuti Iskandar (Pejuang) pada 9.08 pagi, Hanif (Keadilan) pada pukul 9.13 pagi dan Hasni (Barisan Nasional) pukul 9.16 pagi.
Benut merupakan DUN di bawah Parlimen Pontian.
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 28,165 pengundi layak menjalankan tanggungjawab di DUN Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Satu lagi DUN di bawah Parlimen Pontian ialah N.54 Pulai Sebatang.
Pada PRU14, Hasni menang dengan majoriti 4,447 menewaskan calon PKR, Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaffar (Pas).
Kesemua 56 PPC bagi PRN Johor ditutup secara rasmi pada pukul 10 pagi.