PRN Johor: Hasni akan terus pimpin kerajaan negeri jika BN dapat mandat rakyat - Zahid
Firdaus Azil
Februari 4, 2022 23:49 MYT
Februari 4, 2022 23:49 MYT
ISKANDAR PUTERI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini mengesahkan Datuk Hasni Mohammad akan terus menjadi Menteri Besar Johor sekiranya parti itu mendapat mandat baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketika berucap merasmikan Pusat Operasi BN Zon Barat malam ini, Presiden UMNO itu berkata, beliau telah meneliti draf manifesto, dan ia merupakan akujanji yang boleh dilakukan, dan dapat meyakinkan pengundi Johor untuk terus memilih BN.
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Hasni, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut sebelum ini, dilihat mempunyai kaliber dan kewibawaan yang diperlukan untuk terus memimpin Johor.
“Saya yakin manifesto BN adalah manifesto yang doable, boleh dilakukan, dan bukan janji palsu. Saya akan pastikan bila kerajaan baru terbentuk, Datuk Hasni akan terus jadi Menteri Besar Johor.
“Saya bersama Tok Mat (Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan) akan memantau segala akujanji dalam manifesto.
“Dan saya yakin dengan kaliber, dengan kewibawaan Datuk Hasni, saya yakin, beliau harus diberi peluang semula untuk memimpin Johor bagi menentukan manifesto itu dapat dilaksanakan wakil rakyat kita,” tegasnya lagi.
Pada pilihan raya umum yang lepas, Hasni, yang juga Ketua Bahagian UMNO Pontian, memenangi saingan tiga penjuru menewaskan Zulkifly Tasrep (Pakatan Harapan), dan Mohd Firdaus Jaafar (Pas), dengan majoriti 9,480 undi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN harus memenangi kerusi dengan jumlah yang besar, bagi menutup pengkritik yang menganggap parti itu sebagai ‘haiwan patah kaki’.
“Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan. Saya fikir mereka patut tukar profesyen dari ahli politik kepada jadi ahli zoologi. Saya tahu itu ilmu mantik, tetapi saya khuatir jika satu jari tuduh, empat jari kena padanya.
“Maka dalam keadaan itu, supaya kita tidak disindir, supaya kita tidak difitnah, tidak dicaci maki, bila pun tarikh SPR, buktikan bahawa kita berdiri dengan gagah, mendapat mandat baru, dan kita akan pastikan orang yang hina kita, orang yang sindir kita, akhirnya akan malu sendiri atas kemenangan besar kepada BN,” tegasnya lagi.
Namun, Ahmad Zahid mengingatkan Jentera BN, agar tidak terlampau yakin sehingga merasakan PRN Johor ini adalah milik mereka.
Katanya lagi, biarpun mereka memperolehi kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil, termasuk kemenangan besar dalam PRN Melaka, namun ia tidak bermaksud kerja menjadi mudah untuk mereka.
Ahmad Zahid berkata, beliau berharap agar Jentera BN di bawah pimpinan Mohamad, dan Hasni, dapat memastikan kemenangan bagi menjamin masa depan Johor yang lebih cemerlang.