PRN Johor: Hasni akan buat sidang media khas esok - Sumber

Firdaus Azil
Januari 21, 2022 12:57 MYT
Baru-baru ini, Hasni, yang juga ADUN Benut, memberitahu media, visi dan perancangan Kerajaan Negeri Johor akan terus berjalan lancar biarpun sewaktu tempoh DUN dibubarkan. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dijadualkan akan mengadakan sidang media khas esok, dipercayai berkaitan tentang desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ketiga sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Sumber yang rapat dengan UMNO memberitahu Astro AWANI, sidang media itu dilakukan selepas Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, selesai mempengerusikan pertemuan dengan kesemua Ketua-ketua UMNO Bahagian di negeri itu.
Selain memperincikan senarai calon untuk 56 kerusi DUN, mesyuarat itu juga dijangka menyentuh mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) yang bakal dibentangkan sewaktu tempoh berkempen nanti.
“Ya. Sidang media selepas mesyuarat perhubungan esok,” kata sumber itu ringkas.
Bagaimanapun, difahamkan waktu dan tempat sidang media itu diadakan masih belum dimuktamadkan, biarpun berkemungkinan besar ia akan diadakan di bangunan Badan Perhubungan UMNO Johor di sini.
Baru-baru ini, Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut, memberitahu media, visi dan perancangan Kerajaan Negeri Johor akan terus berjalan lancar biarpun sewaktu tempoh DUN dibubarkan.
Kenyataan itu sekaligus menguatkan desas-desus bahawa PRN Johor akan diadakan, yang rata-rata penganalisis berpandangan ia akan diadakan dalam tempoh antara selepas Tahun Baharu Cina (1 Feb) dan sebelum bulan Ramadan (2 April).
"Program kerajaan (akan) dijalankan seperti dirancang serta apa sahaja yang dirancang di bawah Belanjawan Negeri 2022," katanya dalam ucapan perasmian tapak ujian dron di Medini di sini, pada Khamis.
Desas-desus mengenai PRN semakin hebat susulan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian pada Disember lepas, menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki satu majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.
Pemerhati politik berpandangan UMNO dan BN merasakan mereka kembali kukuh selepas keputusan PRN Melaka menyaksikan mereka mendapat 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pada masa ini, Dewan Undangan Negeri Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).
#PRN Johor #Hasni Mohammad #DUN Johor #Barisan Nasional
;