PRN Johor: Hanya 30 peratus pengundi baharu 18-21, tetap jadi cabaran kepada BN - Tok Mat
Firdaus Azil
Februari 8, 2022 13:00 MYT
Februari 8, 2022 13:00 MYT
JOHOR BAHRU: Tidak semua jumlah pengundi baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, yang menjangkau hampir 750,000 orang, terletak dalam kategori usia 18 hingga 21 tahun, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, daripada keseluruhan pengundi baharu itu, sekitar 30 peratus sahaja daripada mereka berada dalam lingkungan usia berkenaan.
Mohamad, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN berkata, cabaran untuk mengenalpasti sentimen golongan berkenaan, bukan sahaja terpakai untuk parti itu sahaja, tetapi kesemua parti yang bertanding dalam PRN kali ini.
“Jangan kita silap faham dari 750,000 itu bukan semua usia 18 hingga 21 tahun. Tak banyak pengundi dalam lingkungan usia itu, tak sampai pun 30 peratus. Tapi yang banyak ialah pengundi usia 21 ke atas. Ini bermakna, selama ni mereka tidak peduli, tidak mahu mendaftar dan tidak mahu keluar mengundi.
“Jadi ini juga suatu perkara yang dilihat secara teliti, terutama di peringkat UMNO dan Barisan Nasional. Bagaimana cara untuk kita dapat menggamit, mendekati mereka, dan seterusnya untuk bersama-sama beri sokongan kepada BN, semasa PRN yang akan berlangsung tak lama lagi,” katanya lagi.
Mohamad, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis Santai bersama Tok Mat, di Concorde Club, di sini, hari ini.
Berdasarkan Daftar Pemilik Induk (DPI) yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 17 Januari lepas, terdapat 2,599,797 juta pengundi aktif daripada keseluruhan kira-kira 3.52 juta penduduk Johor.
Mengikut data SPR, 2.57 juta pengundi biasa terdiri daripada orang awam, 10,958 pengundi tentera dan pasangan, 11,578 pengundi polis dan pasangan mereka, manakala, pengundi luar negara pula melibatkan seramai 376 orang.