PRN Johor: Hampir 50 peratus responden muda pilih BN, PH hanya 12.2 peratus
Umavathi Ramayah
Mac 10, 2022 17:44 MYT
Mac 10, 2022 17:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian yang dikendalikan oleh Astro AWANI dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) mendapati hampir separuh, iaitu 49.9 peratus daripada responden muda menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Data kajian elektoral yang dijalankan dalam kalangan 1,076 respoden berusia 18 hingga 24 tahun antara 1 Mac dan 7 Mac lalu, mewakili 77.3 peratus pengundi Melayu, Cina (16.4 peratus) dan India (6.3 peratus).
Hasil kajian yang mencakupi 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mendedahkan Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan kedua mereka dengan 17.2 peratus manakala 14.6 peratus responden lagi tidak pasti mengenai pilihan parti mereka.
Sementara itu Pakatan Harapan (PH) hanya menjadi pilihan kira-kira 12.2 peratus responden serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mengangkat kepentingan golongan muda hanya berjaya 'menawan hati' 5.9 peratus responden.
Secara spesifiknya, kira-kira 57.4 peratus daripada pengundi Melayu memilih BN sebagai pilihan mereka, manakala 61.1 peratus pengundi Cina menjadikan PH sebagai pilihan mereka sementara PN menjadi pilihan pengundi India dengan 37.5 peratus.
Dalam pada itu, kira-kira sebilangan besar responden iaitu 56.4 peratus responden berpendapat calon adalah lebih penting dalam PRN Johor manakala 34.4 peratus responden merasakan parti adalah penting.
Kira-kira 61.2 peratus daripada responden pula menyatakan akan keluar mengundi, sementara 31.4 peratus tidak pasti dan 7.4 peratus responden memilih untuk tidak mengundi.
Ditanya mengenai alasan tidak akan keluar mengundi, 40 peratus responden menyatakan mereka tidak berminat dengan PRN Johor, manakala 35 peratus (lain-lain), 15 peratus lagi memilih tidak yakin dengan pilihan politik yang sedia ada manakala 10 peratus responden menyatakan kebimbangan dengan keadaan COVID-19.
Antara alasan yang diberikan kerana tidak keluar mengundi adalah tiada cuti untuk mengundi, tidak sokong demokrasi, tidak penting kerana tiada perubahan, terlalu awal untuk terdedah kepada politik negara, tidak faham dengan politik yang ada, tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu berkaitan politik.
Dalam pada itu, antara isu yang diketengahan oleh responden adalah isu kosa sara hidup iaitu 26.1 peratus, kesihatan (21.8 peratus), peluang pekerjaan (17 peratus), pendidikan (9.5 peratus), kerajaan yang stabil (7.4 peratus), isu berkaitan kaum (1.6 peratus) dan perumahan (1.4 peratus).
#kajian PRN Johor
#Johor Memilih
#universiti malaya
#Barisan Nasional
#Politik Malaysia
#BN
#Perikatan Nasional
#Pakatan Harapan
#muda