PRN Johor: Guna logo PKR satu strategi ikut demografi, bukan berpecah dari PH - AMK Johor

Israr Khalid
Februari 10, 2022 07:00 MYT
Keputusan PKR menggunakan logo parti berbanding logo gabungan PH ialah satu strategi untuk lebih menyantuni demografi di negeri itu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggunakan logo parti mereka berbanding logo gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu strategi untuk lebih menyantuni demografi di negeri itu.
Jelas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R. Yuneswaran, ia sama sekali bukanlah mencerminkan kerapuhan dalam solidariti antara parti komponen PH, jauh sekali sebagai tanda PKR keluar dari pakatan tersebut.
“Kita tidak break away, cuma ini adalah strategi politik di mana di Sabah dan Sarawak juga menggunakan kaedah yang sama, mengikut demografi negeri masing-masing.
“Ini adalah inspirasi anggota kita supaya kita yakin dengan logo kita kerana di seluruh negara, semua pengundi lebih mengenali logo ini (PKR),” ujarnya.
Menurut beliau, strategi itu dipersetujui oleh ahli akar umbi sendiri yang berasakan logo PKR lebih ‘mesra’ dan dikenali ramai, khususnya buat pengundi di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kita pernah melihat panji PKR mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas yang berjaya membentuk kerajaan.
“Lihat di Melaka, saya sendiri turun padang untuk membantu kempen tempoh hari, mereka di kawasan pendalaman kurang kenal logo PH.”
“Maka itu kita melihat dari segi statistik dan cerapan yang kita buat, kita rasa apa keperluan bahawa mengapa tidak kita lakukan yang sama, menggunakan logo keramat PKR pada PRN Johor,” katanya lagi.
Tonton sesi penuh “Dialog Tiga Penjuru: Anak Muda Gegar PRN Johor?” dihoskan Luqman Hariz, di sini:
PRN Johor | Guna logo PKR satu strategi ikut demografi, bukan berpecah dari PH - AMK Johor
Dialog Tiga Penjuru: Anak MUDA gegar PRN Johor?
#Dialog Tiga Penjuru #Pakatan Harapan #logo PKR #Yuneswaran
;