PRN Johor: GPS tidak akan campur tangan - Fadillah

Astro Awani
Januari 29, 2022 15:22 MYT
Jelas Fadillah, GPS akan menyerahkan sepenuhnya kepada rakan parti di Johor untuk mengurus sendiri PRN mereka. - Foto:Facebook/Fadillah Yusof
KUCHING: Semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan campur tangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Jelas Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan itu bermakna tiada menteri atau timbalan menteri kabinet dari parti berkenaan yang akan terlibat dalam kempen PRN itu nanti.
‘Seperti mana yang berlaku di Melaka, GPS tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya di Johor tapi kita akan memantau, melihat dah sebagainya.
“Sebagai sebuah parti kita tidak terlibat, sebagai anggota kerajaan dan kabinet sudah diputuskan kita juga tidak boleh terlibat selaku menteri ataupun membawa kementerian turun untuk terlibat sama dalam pilihan raya,” jelasnya.
Fadillah berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina untuk kawasan Tupong di Dewan SUPP Matang pada Sabtu.
Jelas Fadillah, GPS akan menyerahkan sepenuhnya kepada rakan parti di Johor untuk mengurus sendiri PRN mereka.
Selain Fadillah selaku Menteri Kerja Raya, antara Ahli Parlimen GPS lain yang memegang portfolio di dalam kerajaan persekutuan adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
#PRN Johor #Gabungan Parti Sarawak GPS #Datuk Seri Fadillah Yusof #pilihan raya
;