PRN Johor: Gelanggang DUN Bukit Kepong dibuka tanpa calon Bebas
Shuhada Abdul Kadir
Februari 26, 2022 11:20 MYT
Februari 26, 2022 11:20 MYT
MUAR: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahrudddin Jamal bakal ditentang Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad dan dua lagi calon dari MUDA dan Pejuang.
Mereka ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Nurafiqah M Zulkifli dan Penyelaras Pejuang Parlimen Muar, Md Taib Md Suhut.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Rahman Selamat selepas tamat tempoh penyerahan kertas pencalonan di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh.
“Saya telah menyemak empat kertas penamaan tersebut yang mana setelah disemak saya berpuas hati memutuskan tiada calon yang ditolak penamaannya.
“Mereka telah mengemukakan kertas penamaan yang dimulakan oleh calon Pejuang pada jam 9.01 pagi dan diikuti oleh calon PN,BN dan yang terakhir calon parti Muda pada jam 9.21 pagi,” kata Abdul Rahman.
DUN Bukit Kepong sebelum ini disandang Shahruddin yang menewaskan calon BN, Mohd Nor Taib dan calon Pas, Iqbal Razak dengan majoriti, 1,273 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.