PRN Johor: Enggan ulas sentimen masyarakat Cina, Wee Ka Siong saran rakyat Johor pilih kerajaan terbaik

Firdaus Azil
Februari 20, 2022 17:41 MYT
Mengakui ada sedikit perubahan sentimen pada kaum Cina, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mahu terus realistik dan pragmatik. - Gambar fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menzahirkan harapan agar rakyat Johor termasuk masyarakat Cina untuk memilih kerajaan yang mereka fikirkan mampu membawa kestabilan kepada negeri.
Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dalam masa sama enggan memberi pandangan kononnya sentimen rakyat Johor khususnya masyarakat Cina, sudah mula beralih arah, berbanding sokongan majoriti terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sewaktu Pilihan Raya Umum 2019.
Mengakui ada sedikit perubahan sentimen, Ka Siong berkata, beliau lebih bersikap realistik dan pragmatik selain Barisan Nasional (BN) khususnya MCA akan terus berwaspada, dan melakukan yang terbaik untuk dinilai rakyat.
“Jadi saya rasa tumpuan kali ini untuk PRN, pilihlah kerajaan yang rakyat sendiri rasakan mampu terajui kepimpinan, membawa kestabilan politik dan kemakmuran. Itu paling penting.
“Apa saya rasa tak penting, yang rakyat mahukan itu paling penting. Saya lebih pragmatik, saya tak akan buat ramalan walaupun kita ada rasa perbezaan, kita kena waspada.
“Apa jua keadaan, kita kena sentiasa bertungkus -lumus, buat terbaik dan biar rakyat nilai siapa yang lebih layak berdasarkan pendapat mereka,” katanya lagi.
Ka Siong berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program SBST untuk Johor Bahru, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, di sebuah hotel di ibu negeri, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: Lebih 3,000 anggota polis ditugaskan pada hari penamaan calon
Pada PRU lepas, MCA bertanding di 14 kerusi di bawah BN dan tewas kesemuanya sementara di peringkat Parlimen, Ka Siong merupakan satu-satunya pemimpin kanan MCA yang mempertahankan kerusi.
Ditanya mengenai keputusan jumlah kerusi yang bakal MCA tandingi kali ini, beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan di peringkat tertinggi BN.
“Sudah pasti pengumuman calon itu dibuat sebelum hari penamaan calon... biasanya sehari atau dua hari. Setakat ini saya tidak boleh beri apa apa kecuali ia sudah muktamad di peringkat tertinggi,” katanya lagi.
#Barisan Nasional #Wee Ka Siong #PRN Johor #sentimen kaum Cina
;