PRN Johor: Enam penjuru di DUN Larkin, MUDA bertembung PKR
Firdaus Azil
Februari 26, 2022 10:50 MYT
Februari 26, 2022 10:50 MYT
JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, beliau telah selesai menyemak semua kertas pencalonan, dan berpuas hati untuk memutuskan tiada calon ditolak.
Barisan Nasional kali ini mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, 38 tahun, dan Pakatan Harapan meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain, 48 tahun.
Di sebelah Perikatan Nasional pula, pimpinan meletakkan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Zukifli Bujang, 44 tahun, manakala Parti Pejuang Tanah Air mencalonkan Mohamad Riadz Hashim, 49 tahun.
Ikatan Muda Demokratik (MUDA) pula meletakkan harapan ke atas Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar, 28 tahun, sekali gus melihat pertembungan antara parti itu dengan PKR.
Pada pilihan raya umum yang lepas, calon Pakatan Harapan ketika itu Datuk Mohd Izhar Ahmad dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah memenangi DUN Larkin dengan majoriti 8,590 undi.