BATU PAHAT: Enakmen Antilompat Parti yang disenaraikan dalam Tawaran Tindakan Pakatan Harapan Johor terpakai kepada semua parti termasuk gabungan parti tersebut.

Menurut Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh pelaksanaan enakmen tersebut juga selari dengan apa yang dibawa di peringkat pusat.

“Di Parlimen pun akan dibentangkan dalam sidang sekarang, saya jangkakan dalam seminggu, dua lagi.

“Jadi, bermakna ia sekali gus menyokong apa yang telah pun dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman di antara kerajaan PH dan Pesekutuan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan manifesto PH di sini pada Khamis.

Terdahulu, PH mendedahkan tiga teras utama dalam manifesto mereka yang dikenali sebagai ‘Tawaran Tindakan Pakatan Harapan’.

Salah satunya adalah melaksanakan enakmen Antilompat Parti, yang terkandung dalam teras mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.

Jelas beliau lagi, tiada satu perkara yang asing dalam pelaksanaan enakmen Antilompat Parti peringkat negeri  itu.

Tambah Syed Ibrahim, apa yang akan terkandung adalah demi kepentingan kestabilan politik di negeri Johor.

Sebelum ini, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 28 Februari lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.

Mengenai calon Menteri Besar pula, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata ia tidak menjadi keutamaan PH ketika ini.

Katanya, perkara itu hanya akan dibincangkan selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

“Walaupun kita yakin kita boleh menang tetapi untuk meletakkan seseorang sebagai calon, itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai.

“Apabila sudah dapat kerusi yang sebenarnya, kita akan bincang seperti yang lepas-lepas,” ujarnya.