PRN Johor: DUN Endau pertembungan antara personaliti dan parti - Penganalisis

Hilmi Malik
Mac 3, 2022 11:53 MYT
Hamidin berkata trend pengundi lebih tertumpu kepada soal integriti calon dan prestasi perkhidmatan calon. - Astro AWANI
MERSING : Pertembungan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dilihat membabitkan persaingan antara personaliti dan juga parti.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid berkata, hasil pemerhatian mendapati pengundi ketika ini lebih cenderung untuk menilai soal prestasi calon berbanding semangat terhadap parti.
“Wujud suara-suara dari akar umbi dan pengundi bahawa mereka lebih tekankan soal prestasi dan bagaimana mereka (calon) mampu untuk bawa perubahan di kawasan itu.
“Pertama kali dalam sejarah pilihan raya, saingan sengit di DUN Endau melibatkan BN dan PN kerana sebelum ini BN menang mudah di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Mengulas mengenai calon BN, Youzaimi Mohd Yusof, Hamidin berkata, kekuatan calon itu lebih tertumpu kepada partinya berbanding individu tersebut untuk membawa pengaruh sendiri.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak mengenai kekuatan calon PN, Alwiyah Talib yang dilihat mempunyai rekod prestasi yang baik sebelum ini dari segi perkhidmatannya.
Ini termasuk keputusan PN untuk mengekalkan Alwiyah di kerusi tersebut untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Endau.
Hasil penelitiannya juga, trend pengundi menunjukkan signal bahawa soal integriti dan kewibawaan merupakan perkara yang menjadi penanda aras pengundi terhadap seseorang calon.
Menyedari kehadiran beberapa lagi parti lain yang bertanding di DUN Endau, Dr Hamidin berpendapat, faktor undi mungkin tidak akan mampu menjejaskan saingan sengi antara BN dan PN.
Kerusi DUN Endau antara kawasan yang berkontroversi apabila misi BN untuk merampas semula kawasan itu daripada PN setelah calonnya, Alwiyah Talib membuat keputusan untuk menyertai Bersatu selepas memperoleh kemenangan.
Kawasan itu melibatkan saingan lima penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Youzaimi Md Yusof, (PN), Alwiyah Talib (PH), Mohamad Fakrulradzi Mahmud, (Pejuang) Noorhisyam Ibrahim, dan calon Bebas, Ismail Don.
#Prof Madya Dr Hamidin #dun endau #Johor Memilih #PRN Johor
;