PRN Johor dijangka memunculkan pengundi atas pagar BN dan PH

Kolumnis AWANI
Februari 11, 2022 20:48 MYT
Jelas Datuk Dr Ruhanie Ahmad, tahap keselamatan UMNO dan BN dijangka merosot, dan tahap keselamatan politik Bersatu dan Perikatan Nasional pula mungkin meningkat menerusi PRN Johor. - Astro AWANI
UMNO dan Barisan Nasional (BN) bercita-cita untuk menamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kali ini.
Bersatu dan PN pula berazam untuk membenamkan UMNO dan BN buat selama-lamanya menerusi pilihan raya yang sama, dengan memfokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa di Johor dan di serata Malaysia.
Oleh itu, mampukah UMNO-BN merealisasikan cita-cita di atas, berjayakah Bersatu dan PN mencapai azamnya, dan sejauh manakah prestasi dua gabungan politik ini dalam PRN Johor?
UMNO dan BN dijangka sukar untuk mencapai cita-cita di atas kerana sebilangan besar pengundi di Johor mentafsirkan PRN ini menerusi pelbagai perspektif kemungkaran UMNO dan BN mutakhir ini.
Pertama, pengundi Johor mentafsirkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini sebagai pengkhianatan UMNO-BN terhadap Bersatu dan PN.
Ini kerana pembubaran tersebut dilaksanakan tanpa sebarang perundingan dengan PN selaku rakan politik dalam mentadbirkan Kerajaan Negeri Johor.
Tindakan ini mencetuskan kemarahan penyokong Bersatu dan PN, dan menimbulkan kekecewaan rakyat Johor yang sedang memulihkan kehidupan masing-masing akibat serangan COVID-19 dan banjir besar, baru-baru ini.
Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, bahawa pembubaran di atas dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO pula menunjukkan kerakusan UMNO untuk mengadakan PRN Johor.
Lantas PRN Johor ditafsirkan sebagai hasil salah guna kuasa pemimpin UMNO dan BN di peringkat Pusat dan di peringkat negeri.
Dengan ini, PRN Johor adalah dibayangi oleh persoalan salah guna kuasa yang mahu ditentang habis-habisan oleh Bersatu dan PN.
Kedua, PRN Johor juga digerhanai isu rasuah yang membabitkan segolongan pembesar UMNO dan BN di peringkat Pusat.
Khususnya adalah tuduhan rasuah yang dihadapi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, serta isu rasuah yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak selaku mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO.
Isu di atas menyebabkan PRN Johor ditafsirkan oleh sebilangan besar pengundi di negeri ini sebagai usaha untuk menyelamatkan dua pemimpin di atas daripada pelbagai tuduhan rasuah.
Lantaran itu, PRN Johor juga dibayangi persoalan rasuah yang membabitkan segolongan pemimpin UMNO dan BN, serupa dengan isu 1MDB yang menyebabkan kekalahan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketiga, PRN Johor adalah dibayangi pelbagai kisah ribut dalam cawan dan citra pergolakan dalaman membabitkan UMNO Pusat, UMNO Johor serta beberapa bahagian UMNO di Johor.
Kisah ribut dalam cawan dan pergolakan dalaman UMNO mutakhir ini dikatakan amat jelas dalam proses menentukan bakal calon BN bagi PRN Johor.
Dipercayai bahawa masalah ini muncul kerana sesetengah bakal calon BN bagi sesetengan DUN diketengahkan oleh Zahid dan Najib, ada yang condong kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan ada yang hanya memihak kepada Menteri Besar Johor serta kuasa ghaib di belakangnnya.
Ini menyukarkan UMNO Johor untuk memuktamadkan calon BN bagi PRN Johor, dan mungkin memunculkan keretakan jentera BN dalam menguruskan PRN Johor secara berkesan.
Ini membayangkan PRN Johor turut diwarnai ribut dalam cawan serta dilema dalaman UMNO yang menyukarkan proses pemilihan bakal calon BN.
Selain di atas, UMNO dan BN Johor berhadapan kemunculan pengundi atas pagar yang terdiri daripada penyokongnya dalam PRU14.
Pada waktu sama, PRN Johor dijangka memunculkan pengundi atas pagar daripada kalangan komponen BN dan komponen Pakatan Harapan (PH) yang dipercayai akan mengundi calon PN.
Isu pembubaran DUN Johor yang ditafsirkan sebagai salah guna kuasa, tuduhan rasuah ke atas Zahid dan Najib, dilema UMNO, dan pengundi atas pagar membabitkan penyokong BN dan PH dalam PRU14 yang dihuraikan di atas mungkin menjejaskan cita-cita UMNO dan BN untuk menamatkan Bersatu dan PN menerusi PRN Johor.
Oleh itu, PRN Johor mungkin menafikan cita-cita UMNO dan BN untuk menamatkan Bersatu dan PN. Sebaliknya, seluruh isu di atas mungkin memudahkan Bersatu dan PN untuk menguburkan UMNO dan BN di Johor.
Kesimpulannya, tahap keselamatan UMNO dan BN dijangka merosot, dan tahap keselamatan politik Bersatu dan PN pula mungkin meningkat menerusi PRN Johor.
UMNO dan BN Johor yang berhadapan pelbagai isu di atas, mungkin tidak mudah untuk memenangi semua kerusi DUN yang diperolehinya dalam PRU14.
Sebaliknya, Bersatu dan PN mungkin menambah jumlah kerusi DUN yang akan diperolehinya menerusi PRN Johor.

* Datuk Dr Ruhanie Ahmad merupakan Penasihat Pilihan Raya Bersatu Bahagian Parit Sulong yang bercakap mengenai isu politik semasa sempena PRN Johor.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#PRN Johor #Menteri Besar Johor #Barisan Nasional #Pakatan Harapan
;