PRN Johor: DAP umum lima lagi calon

Bernama
Februari 19, 2022 05:07 MYT
Lim optimis tidak akan berlaku pertembungan antara parti komponen PH termasuk rakan sekutunya MUDA pada PRN Johor. - Gambar fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: DAP hari ini mengumumkan lima lagi calon yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Parti itu memperkenalkan 'muka baharu' M. Kanan yang juga ahli jawatankuasa DAP Johor bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok.
Kerusi DUN berkenaan sebelum ini diwakili Dr S. Ramakrishnan juga daripada DAP.
Penyandang bagi kerusi DUN Bentayan Ng Yak Howe dan Pekan Nanas iaitu Yeo Tung Siong diumum bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN masing-masing.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Kulai Wong Bar Yang pula dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Senai yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Alan Tee Boon Tsong akan bertanding di DUN Yong Peng.
BACA: PRN Johor: Wong Bor Yang diumum calon DAP kerusi DUN Senai
BACA: PRN Johor: DAP umum calon Bentayan dan Pekan Nenas, 3 lagi kerusi masih teka-teki
Kesemua calon berkenaan diumum Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam beberapa majlis berasingan di Kulai, Segamat dan Batu Pahat.
DAP sebelum ini mengumumkan calon daripada parti itu yang akan bertanding atas tiket PH iaitu di kerusi DUN Tangkak, Paloh, Mengkibol, Penggaram, Stulang dan Johor Jaya.
Sementara itu, Lim dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Johor di sini optimis tidak akan berlaku pertembungan antara parti komponen PH termasuk rakan sekutunya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada PRN Johor.
-- BERNAMA
#PRN Johor #DAP
;