PRN Johor: DAP umum dua calon terakhir, Liew Chin Tong dan Marina Ibrahim

Muhammad Aiman Hakeem
Februari 24, 2022 21:20 MYT
Mereka yang dicalonkan, ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bagi kerusi DUN Perling manakala muka baharu, Marina Ibrahim diletakkan di kerusi DUN Skudai. - Foto Astro AWANI
KULAI: DAP hari ini mengumumkan dua calon terakhirnya yang bakal bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Mereka yang dicalonkan ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bagi kerusi DUN Perling manakala muka baharu, Marina Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Skudai.
Berikutan itu, kesemua 14 calon mewakili DAP yang bakal bertanding pada PRN Johor nanti telah dilengkapkan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau berpuas hati dengan barisan calon yang diperkenalkan selain optimis mereka bakal mengulangi kejayaan menang semua kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
"Kita telah melalui banyak tapisan dan banyak juga perjumpaan dibuat. Ia satu proses yang agak sukar tapi pada akhirnya kita mencapai satu muafakat
"Tentunya mereka yang tidak terpilih akan rasa kekurangan, namun itu perkara biasa. Tapi apa yang penting ialah akhirnya kita dapat bersatu untuk pastikan calon kita menang.
"Kerana akhirnya bukan individu yang bertanding tetapi simbol dan logo DAP dan Pakatan Harapan yang bertanding. Itu yang kita kena menangkan," katanya selepas Majlis Pengumuman Calon DAP dan Penyerahan Watikah Pelantikan Calon di Kulai, Johor.
Selain Marina, DAP turut memperkenalkan tiga muka baharu bagi parti itu iaitu Ng Kor Sim yang akan bertanding di kerusi DUN Jementah serta juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor, M. Kanan di DUN Bekok dan Bekas Ketua Whip DAP Ahli Majlis Perbandaran Kulai, Wong Bor Yang di DUN Senai.
Calon lain yang bakal bertanding terdiri dari bekas ADUN Senai, Alan Tee Boon Tsong yang akan bertanding di kerusi DUN Yong Peng, Chew Chong Sin yang akan mempertahankan kerusi Mengkibol dan Andrew Chen Kah Eng di DUN Stulang serta Liow Cai Tung di DUN Johor Jaya dan Ng Yak Howe di DUN Bentayan.
Di samping Yeo Tung Siong di DUN Pekan Nanas, bekas Timbalan Speaker Johor, Gan Peck Cheng di DUN Penggaram serta Pembantu Setiausaha Organisasi DAPSY, Eric Ee Chin Li di DUN Tangkak manakala Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali akan bertanding di DUN Paloh.
#DAP #PRN Johor #Liew Chin Tong #Marina Ibrahim #DUN Perling #DUN Skudai #Johor Memilih #pilihan raya negeri #Lim Guan Eng
;