PRN Johor: Calon PH korban bulan madu demi pengundi Endau
Hilmi Malik
Februari 26, 2022 13:09 MYT
Februari 26, 2022 13:09 MYT
MERSING: Calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Fakrulradzi Mahmud terpaksa mengorbankan bulan madunya demi rakyat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
Menurut Mohamad Fakrulradzi, sebetulnya, majlis perkahwinannya dengan Mardhiah Abd Razak sudah lama dirancang dan langsung tidak menyangka tarikh persandingan itu bertembung dengan hari penamaan calon.
“Memang tidak jangka (bertembung tarikh) tapi saya perlu berkorban masa pada hari bahagia saya untuk hadir ke penamaan calon dan ini untuk rakyat Johor.
“Isteri saya faham kerjaya politik saya. Insya-Allah untuk tempoh dua minggu ini kita korbankan dulu berbulan madu,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon DUN Endau di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, isterinya, Mardhiah bersikap terbuka dengan kedudukan Fakrulradzi selain menyokong penuh perjuangan suaminya untuk memperjuangkan rakyat di DUN tersebut.
“Saya sokong perjuangannya untuk penduduk Endau, walaupun bulan madu tangguh tapi ini juga perjuangan untuk agama dan masyarakat.
“Dia pun bukan milik saya (milik rakyat),” ujarnya.
Ditanya mengenai usaha untuk membangunkan Endau, Fakrulradzi memberitahu, beliau akan cuba untuk membangunkan kawasan itu yang kelihatan agak terpinggir sebelum ini.