PRN Johor: Calon DUN Puteri Wangsa mahu menyanyi, berpuisi ketika berkempen
Astro Awani
Februari 26, 2022 17:04 MYT
Februari 26, 2022 17:04 MYT
JOHOR BAHRU: Pendekatan berkempen menggunakan puisi, sajak dan nyanyian akan digunakan calon Bebas, Adzrin Adam yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, kaedah itu dipilihnya bagi menerapkan seni persembahan dalam berpolitik untuk menarik minat anak muda supaya mendengar ceramah yang disampaikannya.
Menurut Adzrin, ia juga selaras dengan hasrat beliau dalam mengangkat martabat warisan kesenian dan kebudayaan di Johor.
Katanya, politik di negeri itu perlu mempunyai kelainan yang tersendiri bagi memperkasakan penyertaan penduduk dalam aktiviti yang dilaksanakan demi kebaikan semua pihak.
"Saya melihat bahawa perlu ada satu identiti dan kita mengangkat kemampuan masyarakat itu sendiri. Bidang seni... saya rasa Johor itu sendiri terkenal dengan satu identiti seni bangsa yang hebat sebenarnya.
"Yang hebat itulah yang kita akan perjuangkan... kita laksanakan melalui pentas perjuangan politik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon DUN Puteri Wangsa di Pusat Penamaan Calon di Dewan Raya Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azrin memaklumkan, biarpun terpaksa akur berdepan saingan sengit dalam saingan enam penjuru di kerusi berkenaan, dia yakin mampu memberi saingan dengan sokongan pengikutnya.
Tambahnya lagi, dia mendapat sokongan kuat daripada ahli-ahli politik veteran di kawasan berkenaan yang mahukan dia tampil sebagai calon Bebas.
Selain Azrin, lima lagi calon yang disahkan bertanding adalah Ng Yew Aik (Barisan Nasional), Amira Aisya Abd Aziz (MUDA), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional) dan Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia).