PRN Johor: Calon DUN Endau tiba di PPC, BN paling awal

Hilmi Malik
Februari 26, 2022 01:05 MYT
Mohd Youzaimi (tengah), bersama penyokong dan pencadang, tiba di Dewan Serbaguna Endau, PPC bagi DUN Endau. - Foto Astro AWANI
MERSING: Calon daripada Barisan Nasional (BN) Mohd Youzaimi Yusof merupakan calon yang terawal tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Endau.
Beliau yang hadir lengkap berpakaian baju Melayu biru tiba di Dewan Serbaguna bersama pihak penyokong pada jam 8.05 pagi.
Calon kedua yang tiba di PPC adalah dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Norhisyam Ibrahim, iaitu pada jam 8.15 pagi.
Beliau antara pemimpin muda di dalam Pejuang, menggantikan penama sebelum ini, Zaini Tahar, yang disahkan positif COVID-19.
Mereka diikuti calon daripada Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib, yang juga penyandang kerusi DUN Endau yang tiba pada jam 8.31 pagi.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Sementara itu, calon daripada Pakatan Harapan (PH), Mohomad Fakrulradzi Mahmud merupakan calon yang terakhir tiba di PPC pada jam 8.38 pagi.
DUN Endau berkemungkinan menyaksikan pertembungan empat penjuru untuk berentap merebut kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan rasmi berhubung senarai calon rasmi yang bakal bertanding di DUN Endau akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sahaja selesai menerima borang pencalonan.
#dun endau #PRN Johor #SPR