PRN Johor: BN yakin mampu tawan semula DUN Senggarang - Mohd Yusla
Hasimi Muhamad
Mac 2, 2022 13:59 MYT
Mac 2, 2022 13:59 MYT
BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) yakin mampu menawan semula kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Keyakinan itu dizahirkan oleh calonnya, Mohd Yusla Ismail, 54, dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 60 atau 70 peratus undi berpihak kepada parti Melayu itu.
Jelas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Batu Pahat itu lagi, tindakan bekas penyandang DUN tersebut, Khairuddin A Rahim yang bertanding atas tiket PKR pada PRN kali ini memberi kelebihan kepada BN.
“YB sebelum ini, Khairudin berpindah ke Rengit dan dia telah bertanding atas tiket PKR.
“Semasa di Senggarang (Pilihan Raya Umum ke-14) dia menggunakan tiket Amanah. Apabila dia menggunakan tiket Amanah di Senggarang, dan di Rengit dia menggunakan PKR, dia dilihat sebagai ‘lompat parti’.
“Jadi, dia meninggalkan kesan yang baik untuk kita sebab dia melompat. Saya rasa pengundi lebih suka dengan yang setia (kepada parti) daripada yang melompat-melompat ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Rabu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Khairudin menang dengan majoriti 809 undi menewaskan calon BN, Zaidi Japar dan calon Pas, Dr Mohd Ramli Kari.
Bagi PRN Johor ini, Pakatan Harapan (PH) meletakkan Abdul Hamid Jamah (Amanah) di DUN Senggarang, sementara Khairuddin dicalonkan di DUN Rengit.
Mengulas lanjut, Mohd Yusla yang juga bekas guru besar berkata, rekod baik yang ditunjukkan UMNO walaupun ketika di bawah pimpinan PH, membuktikan parti itu mengutamakan kebajikan rakyat.
Selain itu, katanya faktor harga pasaran kelapa sawit dan pendapatan pekebun-pekebun yang semakin baik mendorong pengundi untuk terus memberikan mandat kepada UMNO.
“Kalau kita lihat UMNO bahagian ada satu program Ziarah Kasih yang tidak pernah tinggal, walaupun sekali sepanjang tahun.
“Ketua bahagian, timbalan, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri dan seluruh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) bahagian akan bergerak dalam kawasan Parlimen Batu Pahat ini untuk melakukan kerja-kerja ziarah kasih dan lain-lain,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata gerak kerja jentera parti telah dipergiatkan dalam mendekati para pengundi.
Ujar Mohd Yusla, sejak kempen bermula selepas penamaan calon pada 26 Februari lalu, beliau sudah mengunjungi kesemua 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Senggerang untuk berjumpa dengan akar umbi.
Pada PRN Johor kali ini, kerusi DUN Senggarang menyaksikan saingan lima penjuru melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Faizi Ahmad Kamil, Mohd Yusla (BN), Abd Hamid Jamah (Amanah), Zalihah Jaffar (Pejuang) dan seorang calon Bebas.