PRN Johor: BN tidak boleh selesa dengan pertandingan banyak penjuru - Annuar

Bernama
Februari 27, 2022 23:16 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media ketika melawat Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Naning hari ini. - Foto BERNAMA
MUAR: Pertandingan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang selesa buat gabungan Barisan Nasional (BN).
Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata sebaliknya, jentera BN perlu menganggap perkara itu sebagai satu cabaran baharu yang menuntut gabungan itu untuk lebih teliti dalam menyusun gerak kerja mereka.
Beliau berkata sama ada pertandingan banyak penjuru memberi kelebihan atau tidak, BN perlu berhati-hati dengan melihat perkembangan terkini parti lain setelah nama-nama calon diumumkan.
"Setiap satu itu perlu dibuat evaluasi oleh jentera, sohor kini itu ke mana, parti-parti yang bertambah itu mengambil undi daripada mana, ini tak boleh nak menyedapkan diri kita.
"Sudah tentu lebih ramai lebih baik dan secara teorinya yang banyak-banyak (parti) itu berpecah dalam kalangan penentang BN, tapi itu secara teorinya jadi kita tidak boleh terlalu yakin.
"Kita akan buat penilaian semua ini. Pendekatan BN tidak kaku, kita fleksibel dan pendekatan yang kita guna berasaskan situasi pada sesuatu tempat," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning di sini, hari ini.
Annuar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang tadi yang mengatakan BN tidak melihat pertembungan pelbagai penjuru sebagai kelebihan.
Pada PRN Johor, daripada 56 kerusi DUN, dua kawasan iaitu Kempas dan Tiram menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, pertandingan enam penjuru di empat kerusi, lima penjuru (lapan), empat penjuru (35) dan tiga penjuru (tujuh).
Sementara itu, Annuar berkata isu penggunaan model poster bagi sesebuah parti belum tentu boleh mempengaruhi jumlah undi pada PRN Johor ini.
Beliau berkata apa yang penting adalah gerak kerja BN yang perlu konsisten dalam menumpukan pengurusan secara mikro serta mesti bertemu seberapa banyak pengundi yang boleh.
"... selain itu, kita perlu mengekalkan imej BN sebagai sebuah parti yang sederhana, mengamalkan pendekatan bijaksana. Kita tidak melakukan kaedah kempen yang tidak sesuai dengan naluri orang kita. Kita juga menggunakan jentera yang ramai tapi dengan cara yang sopan dan berkesan," katanya.
-- BERNAMA
#pertandingan banyak penjuru #PRN Johor #BN #Barisan Nasional #Johor Memilih #pilihan raya negeri #Annuar Musa #UMNO
;