PRN Johor: BN punca ketidakstabilan politik - Mohd Rafiq
Shuhada Abdul Kadir
Februari 19, 2022 21:37 MYT
Februari 19, 2022 21:37 MYT
AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) tidak wajar mencanangkan slogan kestabilan dalam kempennya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana ia tidak menggambarkan imej parti itu yang sebenar.
Ini kerana tegas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, BN adalah punca kepada ketidakstabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.
"Kestabilan apa kalau parti BN yang jatuhkan kerajaan Perak, jatuhkan kerajaan Melaka, terlibat jatuhkan kerajaan Johor, jatuhkan kerajaan Perikatan (Nasional).
"Ini saya dengar Kedah pula macam nak buat, harap tidaklah tapi dengar macam nak buat, marah Menteri Besar daripada Pas Datuk Seri (Muhammad) Sanusi (Md Nor) yang mengatakan beberapa hari lepas nampaknya ada usaha nak menggugat Kedah.
"Ini satu sikap yang bongkak dan sombong, saya rasa rakyat Johor harus bertindak, kalau tidak, hancur masa depan negara dan negeri," katanya selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada lebih 200 pelajar di Tanjung Minyak, Melaka hari ini.
Sehubungan itu tegas Mohd Rafiq, BN seharusnya menggugurkan perkataan kestabilan itu kerana ia tidak menggambarkan tindakan sebenar parti berkenaan.
Beliau juga mengajak pengundi Johor agar menilai semula tindakan yang pernah dilakukan pemimpin BN di sebalik slogan tersebut.
Mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pembahagian kerusi untuk gabungan itu bagi PRN Johor yang sudah diselesaikan, Mohd Rafiq yakin bakal calon yang akan ditampilkan oleh setiap parti gabungan adalah mewakili pelbagai lapisan rakyat.
Jelasnya, ia termasuk mewakili lebih 700,000 pengundi baharu pada PRN Johor.
Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) kempen PRN Johor yang diumumkan semalam, Mohd rafiq berharap beberapa kelonggaran dapat diberikan kepada semua parti.
Katanya, ia termasuk dari segi kapasiti rapat umum yang sepatutnya dibenarkan lebih 100 penonton, kerana menurutnya ia dianggap sedikit jika ruang kawasan rapat umum itu adalah besar.
#Mohd Rafiq Naizamohideen
#PRN Johor
#Barisan Nasional
#Naib Presiden Bersatu
#BN
#ketidakstabilan politik