PRN Johor: BN lebih konsisten tawar kestabilan - Pemuda UMNO Johor
Israr Khalid
Februari 10, 2022 06:10 MYT
Februari 10, 2022 06:10 MYT
KUALA LUMPUR: Solidariti kukuh antara parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dari dulu hingga kini membuktikan gabungan itu dapat menawarkan kerajaan yang lebih menjanjikan kestabilan.
Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menegaskan, ia satu kelebihan buat BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika gabungan parti lawan memperlihatkan perpecahan antara mereka.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak bergerak senada seutuh dahulu ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila kali ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan untuk bertanding menggunakan logo mereka dan bukannya logo pakatan itu.
“Pada PRN kali ini nampaknya mereka tidak akan menjadi segerombolan ketumbukan sepertimana pada PRU14.
“Jadi saya percaya ia satu kelebihan untuk BN Johor khasnya untuk melihat bahawa cabaran kali ini adalah berhadapan dengan beberapa pecahan parti PH,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak dapat menafikan telahan yang mengatakan BN masih mengamalkan cara lama.
Bagaimanapun jelasnya, kekalahan teruk pada PRU14 telah menyedarkan mereka dan ketika ini parti tersebut sedang cuba memekarkan perubahan dan pembaharuan.
“Kepimpinan utama BN sebenarnya telah memperlihatkan perubahan yang sangat besar dan saya boleh akui mereka sangat menerima pandangan akar umbi.
“Apa yang boleh saya sebut pada tahap ini adalah Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebenarnya sangat memberi perhatian kepada suara-suara rakyat khasnya kepada ahli parti di peringkat bawahan yang mana ia mencerminkan suara dan dapatan rakyat semasa.
Beliau sebagai antara pemimpin muda parti percaya ia adalah perkembangan yang sangat baik dan merasakan cara lama politik dalam BN sepertimana yang dikatakan akan berubah sedikti demi sedikit.
Tonton sesi penuh “Dialog Tiga Penjuru: Anak Muda Gegar PRN Johor?” dihoskan Luqman Hariz, di sini: