KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Kota Iskandar, Pandak Ahmad mahu menggalakkan rakyat di kawasan itu terlibat secara aktif dengan aktiviti ekonomi setempat.

Beliau merancang untuk merancakkan lagi pembangunan ekopelancongan khususnya di Kampung Sungai Melayu yang digerakkan sendiri oleh para penduduknya, sekaligus dapat menjana pendapatan tambahan untuk mereka.

“Saya melontarkan idea supaya pembangunan pesat di Nusajaya ini rakyatnya bukan sekadar sebagai penonton.

“Kita telah wujudkan bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), akhirnya ekopelancongan di Kampung Sungai Melayu ini sudah terkenal, ada restoran asam pedas, ada aktiviti sungai, ada industri kecil dan sederhana, menampakkan nilai tambah yang meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya.

Kampung Sungai Melayu merupakan sebuah perkampungan di hilir sungai di mana ramai penduduknya adalah nelayan pesisir pantai dan penternak kupang, yang mula dibangunkan sebagai tarikan pelancong sejak beberapa tahun lepas.

Walaupun mendapat bantuan agensi kerajaan, Pandak mahu mendorong rakyatnya supaya mengambil insiatif sendiri dan lebih proaktif untuk mengolah kehidupan dan persekitaran mereka menjadi aset bernilai.

Terutamanya nelayan, di mana aset mereka yakni bot bukan sahaja digunakan untuk menangkap hasil laut, tetapi dapat membawa pelancong untuk menyusuri hutan bakau di sekitar kampung tersebut.

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI Johor Memilih dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

PRN Johor | Galak penglibatan rakyat dalam ekonomi setempat


Agenda AWANI: PRN Johor | Pikat Hati Pengundi