PRN Johor: BN komited kerajaan negeri baharu lebih berintegriti - Hasni

Firdaus Azil
Mac 1, 2022 17:00 MYT
Hasni berkata, kebertanggungjawaban jentera kerajaan juga akan dibudayakan secara serius. - Gambar fail/ Bernama
JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan memastikan kerajaan yang terbentuk daripada mandat rakyat, akan membudayakan pentadbiran yang lebih berintegriti, kata Pengerusinya Datuk Hasni Mohammad.
Hasni, yang juga Ketua Penyelaras Jentera Pilihan Raya BN berkata, kebertanggungjawaban jentera kerajaan turut akan dibudayakan secara serius.
Beliau berkata demikian dalam mengulas lanjut pengumuman dokumen khusus untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang dikenali sebagai Ikhtiar BN Untuk Johor, dengan satu matlamat utama yang didukungi lima ikhtiar, hari ini.
Di bawah Ikhtiar Pentadbiran Berintegriti, Hasni berkata, setiap ADUN di Johor diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Selain itu, Key Performance Indicator (KPI) akan diwujudkan untuk ADUN, pegawai utama kerajaan negeri dan ketua kampung dan pelaporan secara berkala akan dilaksanakan kepada rakyat sekerap mungkin,” katanya lagi.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Menyentuh mengenai Ikhtiar Kelima iaitu Reformasi Politik, Hasni berkata, BN Johor akan terus memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri.
“Atas prinsip tersebut, BN Johor akan memperkenalkan enam inisiatif utama dan meneruskan inisiatif Reformasi Politik yang telah dilaksanakan.
“Antaranya adalah meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 untuk ADUN kerajaan dan pembangkang dengan sama rata.
“Selain itu, bagi memperkasa peranan demokrasi, dengan mandat dua pertiga, persempadanan semula akan dilaksanakan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai,” katanya lagi.
#PRN Johor #Johor Memilih #Hasni Mohammad #pentadbiran berintegriti
;