PRN Johor: BN dan PN punca politik huru hara, rakyat jangan tertipu - Fakrulradzi

Hilmi Malik
Mac 11, 2022 23:00 MYT
Mohamad Fakrulradzi menyatakan, kedua-dua parti itu telah menjadi punca kepada kemusnahan mandat rakyat. - Foto Astro AWANI/Hilmi Malik
MERSING : Hanya kurang sejam tempoh berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Endau, Mohamad Fakrulradzi Mahmud menggesa pengundi untuk menolak pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mohamad Fakrulradzi menyatakan, kedua-dua parti itu telah menjadi punca kepada kemusnahan mandat rakyat.
"Politik Malaysia huru-hara sebab dua parti ini yang menyebabkan mandat rakyat musnah pada PRU14.
"Bila dah dapat jadi kerajaan, mereka berebut sesama sendiri dan jadi punca PRN Johor diadakan," katanya ketika tempoh terakhir berkempen di Endau pada Jumaat malam.
Tegas Mohamad Fakrulradzi, rakyat diharapkan tidak terpedaya dengan janji-janji manis yang dikemukakan oleh PN dan BN.
Ini kerana kedua-dua parti berkenaan masih dalam kerakusan merebut kuasa meskipun dalam kerajaan yang sama.
"Saya mohon rakyat buka mata kerana BN dan PN tak akan berhenti mencaci, menghina sesama sendiri selagi mereka gilakan kuasa.
"Perkara ini terbukti pada kempen PRN Johor di mana mereka saling kutuk mengutuk sesama lain," ujarnya lagi.
Fakrulradzi yang merupakan calon termuda dari parti Amanah itu berkata, pihak tersebut sepatutnya malu dengan masyarakat Melayu apabila kedua-dua parti Melayu itu saling bercakaran.
Dalam kesibukan mereka bertelagah, Mohamad Fakrulradzi menyatakan parti itu hanya lebih tertarik memikirkan soal kuasa meskipun dalam gabungan kerajaan.
Beliau yang mewakili PH bakal berdepan saingan daripada Mohd Youzaimi Yusof (BN), Alwiyah Talib (PN), Mohd Norhisyam Ibrahim (Pejuang), dan juga calon Bebas, Ismail Don.
#PRN Johor #Johor Memilih #calon PH #Pakatan Harapan #dun endau #Mohamad Fakrulradzi Mahmud #BN #Barisan Nasional #PN #mandat
;