PRN Johor: BN atau BN Plus, tunggu keputusan pimpinan pusat UMNO - Hasni
Firdaus Azil
Januari 22, 2022 19:07 MYT
Januari 22, 2022 19:07 MYT
JOHOR BAHRU: Sebarang keputusan untuk melibatkan parti-parti luar UMNO dan Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor, perlu mendapat mandat pucuk pimpinan dahulu, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu berkata, setakat ini perancangan dan perbincangan di peringkat negeri hanya melibatkan komponen BN iaitu UMNO, MIC dan MCA, dan komponen lain.
Ditanya sama ada ia membawa maksud pintu rundingan dengan parti lain belum tertutup, Hasni berkata –“ya (belum dimuktamadkan)”.
“Saya kira dari segi kerjasama bentuk komposisi parti yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri, adalah tertakluk budi bicara pucuk pimpinan di peringkat tertinggi. Kita akan beri maklum balas di peringkat negeri, termasuklah kerjasama antara komponen parti dalam BN itu sendiri.
“Saya akan adakan perbincangan (lanjut) di peringkat negeri, dan kita akan bentangkan perkara ini pada pucuk pimpinan untuk keputusan,” katanya lagi.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sebelum terbubar, DUN Johor menyaksikan BN memiliki 16 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 11 kerusi, PAS dengan satu kerusi, DAP (4), Parti Amanah Negara (Amanah) dengan 9 kerusi, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan empat kerusi.
Biarpun diterajui Barisan Nasional, komposisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menyaksikan lima ADUN dari Bersatu meanggotai jawatan tersebut.
Selain itu, Speaker DUN, iaitu Suhaizan Kayat bukan sebahagian daripada parti kerajaan, sebaliknya beliau datang dari Parti Amanah Negara – Pakatan Harapan.