PRN Johor: Bantu usahawan IKS, perniagaan keropok lekor ada potensi berkembang

Hilmi Malik
Mac 11, 2022 19:07 MYT
Keuntungan yang diraih juga sukar untuk bertahan lama apabila melihat kepada faktor kenaikan barang yang berganda akhir-akhir ini. - Foto Astro AWANI
MERSING : Kedudukan georgrafi Mersing yang berhampiran dengan laut menjadikan kawasan itu mewah ditaburi dengan hasil laut.
Penduduk juga tidak ketinggalan untuk memanfaatkan rezeki alam semula jadi itu dengan mengusahakan perniagaan keropok lekor bagi menjana pendapatan tambahan.
Salah seorang pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Azizah Mohd Noor atau lebih mesra disapa ‘Kak Zah’ berkongsi kisah detik dia bermula untuk membangunkan perniagaannya.
Hakikatnya bukan mudah untuk mula bertapak, pengalaman seawal usia 12 tahun menceburi bidang berkenaan dengan hanya makan gaji, kini mampu mempunyai perniagaan sendiri.
Sebut sahaja mengenai ‘Keropok Lekor Kak Azizah’ pasti nama itu bukan lagi asing dalam kalangan penduduk setempat yang sememangnya mengakui keenakan keropok lekor hasil ‘air tangan’ Kak Zah.
“Mula-mula memang kakak kerja dengan orang masa umur 12 tahun sebab masa itu mak ayah memang susah.
“Mula dari bawah la sampai dah betul-betul mahir proses buat keropok lekor dalam dua tahun sampai lah sekarang, Alhamdulillah dah boleh buat sendiri.
“Awal berniaga dulu pun kawan bagi modal untuk buka perniagaan, beli mesin pun bayar ansur-ansur tapi kakak bersyukur sekarang semua itu dah dibayar semula,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Mula untuk melakukan proses menghasilkan keropok lekor yang bermula awal pagi, Azizah mampu untuk meraih hasil jualan sehingga RM3,000 sehari.
Rezekinya makin bertambah apabila tiba musim cuti persekolahan yang sudah pasti jenama keropok lekor itu menjadi tumpuan pelancong untuk memborong produknya.
Mendengar cerita Azizah, sememangnya mendatangkan keuntungan yang lumayan namun dalam masa sama, dia agak terhimpit dengan keadaan ekonomi yang dilihat tidak menentu.
Keuntungan yang diraih juga sukar untuk bertahan lama apabila melihat kepada faktor kenaikan barang yang berganda akhir-akhir ini.
“Dulu awal-awal berniaga harga barang ok lagi la, ikan pun kita boleh dapat sekotak RM40 sekarang harga sekotak pun dah mencecah RM60.
“Harga barang sekarang ni naik mendadak sangat jadi untuk kita peniaga agak susah sikit la, ada untung pun tapi kena tanggung kos tinggi,” katanya lagi.
Selain itu, Azizah yang kini menjalankan perniagaannya di rumah turut mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk memperoleh kedai sendiri.
Ketiadaan premis yang sepatutnya antara perkara yang menyukarkan pihaknya untuk memiliki lesen perniagaan.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
“Kita ni cuma tiada kedai untuk berniaga jadi kita nak mohon lesen pun tak lepas, kita nak letak papan tanda kedai pun jadi masalah, itu pun dah berapa kali kena tanggal.
“Kita harap kerajaan dapat bantu la usahawan IKS macam mana nak dapat kedai sendiri, bukan apa, kita bimbang bila lesen tiada, kalau ada pun surat SSM itu pun pakai nama anak.
"Lagi satu kita berniaga sekarang ni pun dalam kawasan rumah yang kita sewa, sampai masa tuan tanah mesti nak balik jadi itu yang susah la keadaan sekarang ini,” luahnya lagi.
Ujar Azizah, potensi untuk mengembangkan perniagaannya itu sememangnya ada namun masih memerlukan perhatian pihak kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan lagi usahawan IKS.
#IKS #keropok lekor #Mersing #PRN Johor #Johor Memilih
;