PRN Johor: Apa motif MUDA letak calon di DUN Larkin? - Akmal Nasrullah

Hasimi Muhamad
Februari 25, 2022 13:20 MYT
Dari kiri: Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan calon DUN Larkin, Dr. Zamil Najwah Arbain hadir pada sidang media berhubung pertembungan parti di DUN tersebut pada PRN Johor nanti. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan motif sebenar Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) mencetuskan pertembungan selepas meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tindakan MUDA itu menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan kepada pengundi DUN tersebut apabila parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu sebelum ini dikatakan akan bersama Pakatan Harapan (PH).
Pertembungan itu, tambah Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, seolah-olah memberi kelebihan kepada UMNO, sedangkan PH mahu merampas semula kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Keputusan MUDA untuk mencetuskan pertembungan sesama pembangkang di DUN Larkin tidak akan menganggu fokus Keadilan. Tindakan MUDA ini hanya, jika tidak berhati-hati ketika ini akan mengesahkan tanggapan ramai pihak yang menyifatkan daya politik MUDA yang masih dangkal dan tidak matang dalam menilai pihak kawan dan lawan.
"Walaupun kita kena akui MUDA ada hak demokrasi untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang mereka inginkan, tetapi AMK tertanya-tanya apa motif sebenar MUDA mahu meletakkan calon di DUN Larkin sedangkan Keadilan telah menamakan seorang tokoh profesional dan berpengalaman.
"Adakah latar belakang Dr Zamil (Najwah Arbain) yang kita tonjolkan ini tidak mampu atau memenuhi citarasa yang mereka?," katanya dalam sidang media mengenai pertembungan parti-parti politik, di sini pada Jumaat.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di DUN Larkin.
Sementara, MUDA pada Khamis mengumumkan Ketua Penerangan MUDA Johor, Rasid Abu Bakar sebagai taruhan parti itu untuk kerusi tersebut.
Mengulas lanjut, Pengarah Kempen DUN Larkin itu berkata, tindakan MUDA bertentangan dengan pendirian Syed Saddiq selaku Presiden parti yang memaklumkan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.
Bahkan, Akmal Nasrullah berkata keputusan MUDA meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PH adalah sama seperti mana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan.
"Walaupun berhadapan risiko pecah undi, akibat tindakan MUDA, Keadilan tetap yakin akan mampu menawan semula Larkin yang sebelum ini dimenangi PH dalam PRU yang lalu.
"Pemilihan Dr Jamil juga bertepatan dengan nilai, prinsip dan integriti yang dipegang oleh Keadilan dalam pemiilihan calon pilihan raya dan seterusnya menawarkan pemimpin berkredibiliti untuk diangkat sebagai wakil rakyat," ujarnya.
DUN Larkin dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru.
Selain calon PKR dan MUDA, turut dijangka bertanding di DUN Larkin ialah Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md Shah (UMNO); Zulkifli Bujang (Perikatan Nasional) dan Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang).
BACA: PRN Johor: Mohd Izhar umum keluar Bersatu, wakil rakyat kedua selepas Mazlan Bujang
Pada PRU14, Datuk Mohd Izhar Ahmad bertanding di bawah logo PKR, dan memenangi saingan tiga penjuru di DUN Larkin dengan majoriti 8,590 undi.
Mohd Izhar kemudian menyertai Bersatu sebelum meninggalkan parti tersebut, menyatakan akan menyertai UMNO bagi meneruskan kerja-kerja khidmat kepada masyarakat.
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #Pertembungan DUN Larkin #PKR #PRN Johor
;