PRN Johor: Annuar Musa ingatkan pihak tertentu kenang jasa, jangan takbur

Firdaus Azil
Februari 3, 2022 22:05 MYT
ANNUAR: Janganlah kita mudah membaling dan membuang tongkat dgn mencampak tongkat melalui tingkap, atau membakar tongkat kita.
JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa memberi peringatan untuk pihak tertentu agar mengenang ‘jasa’ orang yang membantu di kala mengalami kesusahan.
Menerusi catatan di Facebooknya, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pihak yang berkenaan harus berhenti mengamalkan sikap sombong, riak, dan takbur.
Biarpun tidak menamakan mana-mana pihak, perkongsian itu dipercayai berhubung kait dengan hubungan yang semakin dingin antara UMNO dan Pas, biarpun kedua-dua parti itu meraih keuntungan politik sewaktu mereka bersama-sama dalam Muafakat Nasional.
“Sewaktu kita jatuh dan tercedera, ada orang membantu kita, memberi tongkat di kiri, ada yang memberi tongkat di kanan. Perlahan-lahan kita beransur pulih, dan mungkin semakin kuat sehingga berasa yakin dan teringin berjalan tanpa tongkat.
“Namun janganlah kita mudah membaling dan membuang tongkat dgn mencampak tongkat melalui tingkap, atau membakar tongkat kita.
“Tiada siapa yang tahu. Suatu hari kita mungkin teraba-raba mencari tongkat lagi. Elak kesombongan, elak riak dan elak takabbur,” katanya lagi.
SEMUA ARTIKEL DAN VIDEO BERHUBUNG PRN JOHOR ADA DI SINI
LAPOR LANGSUNG PRN JOHOR DI SINI
Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan, kedua-dua pimpinan kanan UMNO dan Pas saling berbalas kenyataan, sehingga menggambarkan kerjasama Muafakat Nasional bakal berakhir begitu saja.
Pada 2 Februari, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti pimpinannya itu tidak akan sekali-kali diperbodohkan dengan ‘politik sempit’ UMNO.
Menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebooknya pada Rabu, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah’ Melayu yang hanya melibatkan dua parti sahaja dan meminggirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Awal hari ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membalas kenyataan itu, dan bertegas bahawa UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) akan terus mara ke hadapan
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tiada faedah untuk terus melayan Pas, kerana parti itu secara berterusan melemparkan segala ugutan, tohmahan, dan sanggahan terhadap UMNO.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, ".. bersederhana itu baik, bersahabat itu lebih baik".
“Muafakat dan tolong-menolong itu Taawun... dan bijak hidup bersama itu Taayush. Taawun dan Taayush membina kekuatan ummah, dan asas untuk memimpin.
“Bermain sentimen biarlah bersulamkan kebijaksanaan,” katanya lagi
#Johor Memilih #Annuar Musa #UMNO #PAS #PRN Johor
;