PRN Johor: Angin perubahan masyarakat India sudah dirasai

Shuhada Abdul Kadir
Mac 9, 2022 22:31 MYT
Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC Pusat, M. Mathuraiveran berkata angin perubahan itu jelas dapat dilihat sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kali ini. - Astro AWANI
SEGAMAT: Sokongan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat semakin positif bagi membolehkan parti itu memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi MIC Pusat, M.Mathuraiveran berkata angin perubahan itu jelas dapat dilihat sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kali ini.
“Saya fikir sentimen masyarakat terutamanya masyarakat India telah bertukar wajah dan ada perubahan mendadak berbanding pada tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sehingga menumbangkan kerajaan BN.
“Angin perubahan itu telah bertiup hebat dan kita nampak BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi,” katanya kepada Astro AWANI.
Pada PRN Johor kali ini BN bertanding secara solo di 56 kerusi dengan empat daripadanya adalah kerusi MIC iaitu di DUN Kemelah, Kahang, Tenggaroh dan Bukit Batu.
Mengulas lanjut katanya, formula digunakan BN yang sentiasa mengutamakan rakyat sepanjang 60 tahun pentadbiran gagal dicabar oleh Pakatan harapan (PH) selepas 22 bulan mengambil alih tampuk kepimpinan.
Senario itu katanya, menjadi kayu ukur kepada pengundi masyarakat India dalam memilih sebuah kerajaan yang stabil dan mampu membela nasib rakyat.
“Fokus utama ketika ini adalah bagi memenangkan calon sebagai wakil parti supaya dapat memberi khidmat kepada masyarakat yang mana formula BN selama 60 tahun menunaikan janji berkhidmat untuk rakyat adalah yang terbaik.
“Selama 22 bulan (rakyat) melihat perubahan (kerajaan), tiada apa-apa perubahan yang mendadak atau pembangunan masyarakat dari segi sosio ekonomi mahupun pembangunan ekonomi sesebuah masyarakat itu sendiri.
Mengulas mengenai sengketa antara parti komponen BN yang pernah berlaku selepas PRU14 lalu, katanya perkara itu sesuatu yang biasa dalam sesebuah parti.
“Saya fikir (sengketa) itu lumrah bagi menguatkan lagi kesepakatan dalam sesebuah organisasi.
“Dapat dibuktikan kali ini jentera semua parti komponen termasuk UMNO dan MCA bersungguh-sungguh untuk memenangkan semua calon di PRN Johor ini dan kesepakatan ini menjadi kayu ukur untuk PRU15 nanti,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut meletakkan keyakinan sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi masyarakat India di negeri ini akan memihak kepada BN.
#PRN Johor #masyarakat India #Barisan Nasional #BN #Johor Memilih #pilihan raya negeri #MIC #kerusi DUN #UMNO #MCA
;