PRN Johor: Amira Aisya sah calon pertama Muda, bakal bertanding di DUN Puteri Wangsa

Firdaus Azil
Februari 14, 2022 21:24 MYT
Syed Saddiq berkata, Amira Aisya percaya konsep kepelbagaian yang meraikan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang. - Gambar/ Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mencapai satu lagi penanda penting dalam perjalanan politik mereka, dengan menamakan Setiausaha Agungnya Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon untuk kerusi DUN Puteri Wangsa.
Ia menandakan secara rasmi penyertaan parti itu dalam arena politik Malaysia, melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan menyaksikan hari penamaan calon pada 26 Februari ini.
Amira Aisya, 27, berkata biarpun sering dipandang sebagai tiada pengalaman atau mentah dalam dunia politik, itu sama sekali tidak akan menghentikan semangatnya untuk berkhidmat kepada rakyat, khususnya dalam agenda mereformasi sistem pendidikan negara.
“Saya sentiasa percaya pendidikan itu key to society. Sewaktu saya membesar di Kampung Melayu Majidee, rumah nenek, saya lihat bagaimana seseorang pemimpin itu korup, bila negara ada pemimpin salah guna kuasa, ada pemimpin tamak harta kedudukan, ia akan mengakibatkan sistem sosioekonomi tidak bagus, terutama sekali bagi golongan terpinggir.
A lot of my childhood friends keciciran dalam pendidikan, ada yang mengandung sewaktu di sekolah, terjerumus dalam dadah, dan semua ini saya lihat … goes back to the socioeconomic system,” katanya selepas majlis pengumuman di sini, malam ini.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Terdahulu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu mengumumkan Amira Aisya sebagai calon sulungnya berkata, Amira Aisya merupakan individu sebenar yang menjadi tulang belakang dan penggerak Muda.
Kata Ahli Parlimen Muar itu lagi, Amira Aisya merupakan individu yang tidak mahu sertai parti yang berteraskan kaum semata-mata.
"Never forget that. Bila menteri panggil dia join, tapi dia tak nak. Sebab saya dalam Bersatu, dia cakap not part of her identity," katanya.
Sebaliknya, kata Syed Saddiq lagi, Amira Aisya percaya konsep kepelbagaian yang meraikan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang.
“Saya harap, sahabat-sahabat, keluarga dari DUN Puteri Wangsa dapat memberi peluang kepada wanita muda ini untuk wakili sahabat ke peringkat DUN, dan perjuangkan isu rakyat, kebajikan, reformasi pendidikan,” katanya lagi.
Pada pilihan raya umum yang lepas, kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi calon Pakatan Harapan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mazlan Buang, dengan majoriti 24,959 dalam pertandingan lima penjuru.
Mazlan, yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor, umum keluar parti pada 27 Januari lepas, atas alasan tidak percaya kepada kepimpinan Presiden Bersatu, yang juga bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#PRN Johor #muda #Amira Aisya #Puteri Wangsa
;