PRN Johor: Aktiviti berkumpulan, berarak tidak dibenarkan ketika penamaan calon Sabtu ini - SPR
Afiezy Azaman
Februari 24, 2022 10:57 MYT
Februari 24, 2022 10:57 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang aktiviti berkumpulan dan berarak dibenarkan di mana-mana Pusat Penamaan Calon (PPC) ketika proses penamaan calon Plihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan Sabtu ini.
Sehubungan itu, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC bagi memastikan semua calon dan parti politik mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) turut berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Sentiasa patuh undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon," kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini.
"SPR juga ingin memaklumkan bahawa SOP Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 telah diluluskan KKM pada 18 Feb lalu selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021," tambahnya.
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI
Ikmalrudin berkata, SOP Khas Pilihan Raya ini akan dilaksanakan dengan ketat dalam semua proses perjalanan pilihan raya iaitu cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.
SPR turut memaklumkan, kertas penamaan calon bagi PRN Johor boleh dikemukakan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC), pada Sabtu.
Ia hanya boleh dilakukan oleh calon, pencadang dan penyokong, kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di PPC.
Untuk memudahkan proses penamaan, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan.
"Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
"Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.
SPR juga mengingatkan calon yang mewakili mana-mana parti politik bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan.