PRN Johor: Akta antilompat parti, elaun sama rata antara ikhtiar BN Johor - Hasni
Firdaus Azil
Mac 1, 2022 18:03 MYT
Mac 1, 2022 18:03 MYT
JOHOR BAHRU: Akta antilompat parti merupakan antara agenda utama Barisan Nasional (BN) seandainya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, ia merupakan inisiatif BN untuk memastikan sistem demokrasi tidak lagi tercemar dengan budaya seperti itu, seperti mana yang tergaris di bawah Ikhtiar 6: Reformasi Politik.
Selain itu, beliau berkata, Kerajaan BN Johor juga mempunyai hasrat untuk meneruskan elaun RM200,000 bagi setiap wakil rakyat, serta melaksanakan persempadanan semula bagi memastikan pewakilan rakyat yang lebih efisien.
“Ini satu reformasi yang membolehkan kukuh sistem semak dan imbang dalam sesesebuah kerajaan demokrasi. Tak guna ada pembangkang yang Mr Yes Man dan hanya bersetuju saja dengan kerajaan.
“Pembangkang tetap pembangkang, wakil kerajaan terus merangka, program sepatutnya dilakukan. Di pihak pembangkang juga sewajarnya jadi check and balance, sama ada rundingan menyentuh dasar, ini adalah antara pendekatan yang saya kata tadi, ikhtiar oleh Barisan Nasional,” katanya lagi.
Terdahulu, Hasni mengumumkan dokumen khusus untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang dikenali sebagai Ikhtiar BN untuk Johor, dengan satu matlamat utama yang didukungi lima ikhtiar.
Beliau, yang juga Ketua Penyelaras Jentera BN Johor ketika mengumumkan Ikhtiar itu berkata, melalui matlamat utama tersebut, Johor akan menjadi sebuah negeri yang makmur, didukungi naratif politik baharu yang matang lagi stabil.
Lima ikhtiar tersebut ialah – Kemajuan Ekonomi; Kesejahteraan Rakyat; Orang Muda Johor; Pentadbiran Integriti; dan Reformasi Politik dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Hasni berkata, Johor perlu satu agenda yang pantas, memandangkan ia sudah kehilangan status sebagai peneraju ekonomi negara sejak 2018.
“Kita hilang kedaulatan bila Batu Puteh diserah kepada Singapura, kita tak dapat nak buka sempadan kerana atau tak dapat teruskan ekonomi kerana bekas Perdana Menteri tak mahu jumpa Perdana Menteri Singapura, kita lihat projek HSR dibatalkan.
“Banyak perkara merencatkan perancangan sepatutnya bawa negeri Johor kepada satu keadaan dan kedudukan yang dapat berikan kesejahteraan kepada rakyat.
Maka dua tahun saya di dalam kerajaan, apa kita buat adalah untuk menyegerakan proses sebaik saja mandat diberi rakyat, kepada Barisan Nasional,” katanya lagi.