PRN Johor akan jadi penentu "hidup mati" Muafakat Nasional - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain
Januari 22, 2022 18:10 MYT
Pemimpin Pas dan UMNO perlu memberi kenyataan jelas adakah Muafakat Nasional (MN) benar-benar masih ada atau ia sudah tiada terlerai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi kunci sama ada kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) harus "dikuburkan" atau perlu disegarkan kembali.
Penganalisis politik, Profesor Madya Sivamurugan Pandian menjelaskan situasi itu timbul ekoran pendirian tidak jelas Pas mengenai kerjasama dengan UMNO yang dibentuk sebelum tertubuhnya Perikatan Nasional (PN).
Dr Sivamurugan berpendapat, pemimpin Pas dan UMNO perlu memberi kenyataan jelas adakah MN benar-benar masih ada atau ia sudah terlerai.
"Sebelum Pilihan Raya Negeri Johor, sekiranya ia akan dilaksana, perkara tentang Muafakat Nasional ini harus diputuskan supaya ia memberi gambaran jelas kepada pemimpin akar umbi sama ada ia masih wujud atau sudah terlerai.
"Keputusan ini juga penting kepada UMNO kerana mereka boleh memutusan untuk tidak perlu lagi bekerjasama dengan Pas sekiranya Pas memilih untuk bersama Bersatu.
"Dilemanya siapa yang bersedia untuk berkorban? Siapa yang bersedia untuk berkompromi dalam soal untuk mempertahankan kemuafakatan tersebut?
"Kerana bila piagam Muafakat Nasional ditandantangi pada 2019 ia bertujuan untuk meningkatkan perpaduan ummah tetapi akhirnya kita melihat seolah-olah ia membawa kepada perpecahan, puak-puak tertentu, perkelompokkan tertentu dalam politik," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau juga berpendapat, keputusan untuk Pas bekerjasama dengan mana-mana parti sekiranya PRN Johor diadakan banyak bergantung kepada institusi kepresidenan parti itu.
"Kenyataan bahawa mahu melihat semula hubungan dan kerjasama dengan UMNO di Johor banyak bergantung kepada 'wahyu' yang timbul dari institusi kepresidenan Pas.
"Sejauhmana (Pas) bersedia untuk bekerjasama hanya dengan UMNO dan tidak bersama dengan Bersatu kerana bagi UMNO yang penting mereka bersedia bekerjasama dengan Pas tetapi tidak dengan Bersatu," katanya lagi.
BACA: Sultan Johor perkenan bubar Dewan Undangan Negeri Johor
Justeru Dr Sivamurugan berpendapat kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man banyak bergantung kepada keputusan kelompok tertentu dalam parti itu.
Pada Jumaat, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata perbincangan sama ada Pas akan bekerjasama dengan UMNO pada PRN Johor hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri dibubar.
#UMNO #PAS #Muafakat Nasional #Pilihan Raya Negeri Johor #PRN Johor
;