PRN Johor: Ada cubaan pujuk ahli Bersatu sertai UMNO

Hilmi Malik
Mac 9, 2022 13:42 MYT
Abdul Halim berkata, pihaknya menerima aduan dari ahli dan AJK parti tentang usaha memujuk ahli Bersatu keluar beramai-ramai.
MERSING: Wujud gerakan dalam usaha memujuk ahli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Mersing untuk menyertai UMNO.
Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Abdul Halim Abu Bakar mendakwa, usaha itu dipercayai dilakukan bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Laili Yusof.
"Kita terima aduan dari ahli dan AJK parti (tentang usaha) untuk pujuk mereka keluar beramai-ramai.
"Usaha ini dibuat oleh bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing dan UMNO bahagian Mersing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya lagi, langkah itu disifatkan sebagai usaha terdesak pihak berkenaan yang tidak relevan dalam situasi politik ketika ini.
Tambah Abdul Halim, pengundi juga sudah bijak untuk menilai percaturan politik pihak tertentu.
Dalam kenyataan sama, Abdul Halim juga menyatakan telah mendapat sokongan kesemua AJK Bahagian bagi menyandang jawatan itu.
Sebelum ini, Laili yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Mersing membuat keputusan untuk kembali menyertai Barisan Nasional (BN) yang diputuskan pada 4 Mac lalu.
#PRN Johor #Mersing #Bersatu #UMNO
;