JOHOR BAHRU: Lebih 2.5 juta penduduk Johor bakal menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok (12 Mac).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 2,539,606 orang pengundi layak mengundi dalam PRN kali ini.

Katanya sebanyak 1,021 Pusat Mengundi dan 4,638 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian. Manakala seramai 49,290 petugas akan bertugas bagi proses pengundian itu.

"Semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal. 

"Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi. Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi. 

"Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Jelas Indera Ikmalrudin lagi, pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

Katanya pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut. 

"Manakala pengundi berstatus Patient Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi. 

"Kebenaran ini adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah tersebut dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM," katanya.

Menyentuh mengenai persediaan SPR pada esok, Indera Ikmalrudin memaklumkan pihaknya telah 
menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian.
 
Katanya semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik. 

"Peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Saluran Mengundi.

"SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi. Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak. 

"SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, pada Jumaat (11 Mac). 

"Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi, termasuk menerusi saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain," katanya.