PRN: Jangan termakan sentimen musuh politik, ambil pendekatan seperti Selangor, P. Pinang - Adam Adli

Fareez Azman
Januari 15, 2023 22:12 MYT
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim mengingatkan semua anggota parti itu agar tidak termakan dengan sentimen yang dimainkan musuh politik ketika ini. - Gambar fail
SEREMBAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim mengingatkan semua jentera parti di negeri-negeri bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) agar tidak termakan dengan permainan musuh politik terutama sentimen di media sosial menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Sebaliknya, ujar Adam Adli, pendekatan dasar politik seperti dilakukan di Negeri Selangor dan Pulau Pinang perlu diambil sebagai contoh terbaik.
"Negeri Selangor dan Pulau Pinang kita perintah 15 tahun, walaupun kemerosotan (undi) di beberapa kawasan pilihan raya, namun kita masih lagi kekal sebagai sebuah kerajaan.
"Panggil lah pilihan raya negeri esok, kita masih kekal kerajaan di Selangor kerana sudah kukuh," katanya.
Tambah Adam Adli, ia meskipun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan terdapat gabungan politik yang terdapat kebangkitan gelombang hijau dan gabungan politik yang lain.
"Ambil pendekatan di Negeri Selangor dan Pulau Pinang, kita tidak pernah main isu remeh temeh, Menteri Besar Selangor sama dengan Negeri Sembilan, apabila berucap bercakap dasar negeri, program kebajikan negeri.
"Kerana itu yang paling penting sekali, jangan kita terperangkap dengan pemainan pendekatan lawan kita, Insya-Allah kita akan berjaya," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya Negeri PKR Negeri Sembilan di Seremban pada malam Ahad.
Konvensyen yang dihadiri kira-kira 600 anggota PKR itu dilancarkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Turut hadir ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
#AMK #Adam Adli #PKR #PRN #Negeri Sembilan
;