PRN: 'Jangan sentuh 3R, mohon permit sebelum ceramah, kempen, walkabout' - KPN
Fareez Azman, Irfan Faruqi
Julai 29, 2023 15:20 MYT
Julai 29, 2023 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua parti politik agar memohon permit sebelum mengadakan sebarang kempen, ceramah mahupun walkabout.
Jelasnya, ia bagi memastikan polis dapat bersiap sedia mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Saya ingatkan calon dan wakil calon, untuk apa-apa ceramah dan kempen, pohon permit dulu... termasuk juga jika ingin buat walkabout... perlu memaklumkan kepada polis supaya tidak bertembung dengan calon lain.
"Kita tak mahu berlaku perkara tidak dingini dan melanggar peraturan sedia ada. Selain daripada itu saya perlu mengingatkan, dalam ceramah isu sensitif melibatkan 3R jangan disentuh, boleh membangkit marah, kacau ganggu apabila perkara sensitif ini dikeluarkan dalam ceramah kempen," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada petang Sabtu.
Ujar Razarudin, pihaknya sentiasa memantau setiap ceramah, kempen mahupun walkabout yang dijalankan calon agar tidak melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan.
Mengulas lanjut tambahnya, satu pusat kawalan Op Cantas PDRM telah dibuka sehingga pasca-PRN di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memantau keselamatan di enam negeri terlibat.
Ujarnya lagi, sekiranya terdapat tindakan sesetengah pihak yang cuba menyentuh isu sensitif melibatkan 3R, polis tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan dengan segera.
"Sekiranya digunakan (isu 3R) dalam media sosial kita akan siasat, siasatan pihak polis dalam task force untuk 3R ini ada 32 orang akan melengkapkan siasatan dalam masa tujuh hari.
"Ia termasuk kesalahan dalam waktu berkempen sehingga pascapengundian nanti, siasatan dibuka akan memakan masa selama tujuh hari. Kita akan tentukan siasatan siap dan akan dihantar ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya lagi.