PRN: Isu air, kemiskinan di Kelantan perlu dinoktahkan - Ahmad Maslan
Sinar Harian
Ogos 2, 2023 14:02 MYT
Ogos 2, 2023 14:02 MYT
PORT DICKSON: Rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk memerintah negeri itu sekali gus melihat sendiri perubahan yang akan dilaksanakan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sudah tiba masanya pentadbiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu selari dengan kerajaan Pusat agar lebih banyak limpahan pembangunan dapat direalisasikan.
"Saya kira sudah tiba waktunya kita menoktahkan pemerintahan (Pas) 33 tahun. Ini penting kerana kita telah beri peluang terlalu lama, tetapi mereka tidak ada buat perkara yang besar untuk kebaikan rakyat Kelantan.
"Jadi saya ingin mengingatkan kembali kawan-kawan di Kelantan sama ada dalam politik atau perkhidmatan kerajaan, saya harap mereka mengamalkan politik yang praktikal supaya kerajaan Pusat dan negeri selari seterusnya Kelantan berubah," katanya ketika ditemui selepas program Sembang Santai bersama Calon Barisan Nasional (BN) Bagan Pinang dan Linggi pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan mengesyorkan Kerajaan Perpaduan mengambil alih pemerintahan negeri selama satu penggal dan rakyat berpeluang menilai keberkesanan tata kelola yang baik.
Ini kerana katanya, isu air, kemiskinan, pengangguran dan peluang pekerjaan rakyat Kelantan perlu dinoktahkan agar tidak berlarutan selamanya.
"Beri peluang Kerajaan Perpaduan, kita tengok apa jadi. Kelantan kalau tiada perubahan juga, bagi semula kepada Pas (memerintah) selama-lamanya.
"Cubalah sekali, bagi chance (peluang), 'try test' sekali, selepas itu kalau tak jadi, kalau tak selesai semua masalah, bagilah (kepada Pas) selama-lamanya," ujarnya. - Sinar Harian