PRN: Ilham Centre ramal keputusan 'status quo'
Astro Awani
Ogos 11, 2023 16:08 MYT
Ogos 11, 2023 16:08 MYT
KUALA LUMPUR: Firma Kaji Selidik Ilham Centre meramalkan keputusan status quo untuk enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung esok.
Berdasarkan kaji selidik, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan kekal di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Perikatan Nasional (PN) pula terus menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Kaji selidik yang dilakukan di Selangor mendapati, peratusan pengundi bukan Melayu yang akan keluar mengundi adalah tinggi memberi manfaat kepada PH.
“Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor,” katanya.
PN pula, kata Ilham Centre kelihatan tepu mencari strategi untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
Sekiranya keadaan ini kekal, kata firma tersebut, PN terpaksa melupakan undi Cina dan India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus undi Melayu untuk menang.
PH dijangka akan dapat mengekalkan sokongan daripada sebahagian besar pengundi Melayu yang selama ini berpihak kepadanya.
Walaupun begitu, katanya, PN berpeluang menawan kerusi-kerusi di anjung utara Selangor yang majoriti pengundi adalah Melayu, serta di kawasan luar bandar seperti Sementa dan Sungai Kandis, yang kini dipegang oleh PKR.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan saingat sengit calon PH, Juwairiya Zulkifli di kerusi DUN Hulu Kelang dan sukar untuk dibuat bacaan.
Ilham Centre menjangkakan PH dan BN berdepan laluan mudah di Negeri Sembilan disebabkan undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar manakala PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.
“Hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas.
“Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN,” katanya.