PRN: Hilang kertas undi, majoriti tipis, PH-BN akan buat petisyen pilihan raya - Amirudin
Fareez Azman
Ogos 12, 2023 00:59 MYT
Ogos 12, 2023 00:59 MYT
KLANG: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan membuat petisyen pilihan raya susulan beberapa isu yang timbul pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beberapa perkara menjadi persoalan termasuk kehilangan kertas undi yang tidak dikembalikan di Sungai Kandis.
"Saya memaklumkan ada beberapa hal untuk petisyen, pihak peguam akan meneliti beberapa persoalan, termasuk kehilangan kertas undi tidak dikembalikan di Sungai Kandis serta jumlah perbezaan (undi) sangat kecil seperti di DUN Taman Medan 30 undi dan Gombak Setia, 68 undi. Biar peguam meneliti kes-kes itu," katanya.
Mengulas mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan pada PRN Selangor, Amirudin berkata, saingan diberikan Perikatan Nasional (PN) tidak terlalu sengit.
Malah jelasnya, beberapa kerusi DUN yang dimenangi PN hanya mendapat majoriti di bawah 200 undi.
"Kita bukan anggap terlalu sengit walaupun ada cabaran getir, sekarang kita ada 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding 22 kerusi DUN PN, kita mempunyai 12 kelebihan di Dewan Undangan Negeri.
"Saya percaya kita akan teliti beberapa keputusan dicatatkan di bawah 500 undi, agak banyak (kerusi DUN) seperti di Taman Medan, Sungai Kandis, Dengkil dan Gombak Setia, tiga kerusi itu kalah di bawah 200 undi," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas PH BN di Klang pada Sabtu.