PRN: Hentikan dulu sedekah, bimbang jadi peluru lawan - Tok Mat

Ridauddin Daud
Julai 28, 2023 12:08 MYT
Mohamad berkata, bukan mudah untuk menjadi wakil rakyat kerana mereka adalah hak rakyat, malah 60 peratus kehidupan mereka adalah untuk rakyat. - Gambar fail/Facebook Mohamad Hasan
SEREMBAN: Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan semua calon Barisan Nasional (BN) supaya berhenti bersedekah sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula esok.
Pengarah Pilihan Raya BN yang juga Timbalan Pengerusi BN itu berkata, budaya memberi pertolongan kepada rakyat, termasuk dari segi memberi wang, kadangkala sudah sebati dengan wakil rakyat.
Namun, katanya, bagi mengelakkan perkara itu menjadi 'peluru' buat lawan, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan semua calon agar amalan itu dihentikan seketika.
"Sudah menjadi kebiasaan kami… memang selalu di tengah jalan orang minta pertolongan. Secara automatik, apa saja yang ada dalam poket, kami akan bagi. Itulah dia hidup sebagai wakil rakyat.
"Tetapi saya memperingatkan rakan-rakan, calon-calon dan diri saya, bahawa dalam masa 14 hari ini, kita lupakan dulu amal jariah sedekah.
"Ia adalah supaya perkara itu tidak boleh dijadikan isu oleh sesiapa, sebagai senjata, peluru untuk tembak kita, untuk mempersoalkan keputusan pilihan raya," katanya.
Tegasnya, dalam zaman serba canggih, di mana-mana sahaja orang boleh merakam perbuatan calon dan akhirnya ia mungkin dijadikan satu isu.
Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan 2023 di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan 17 calon BN yang akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan tahun ini.
Dalam pada itu, Mohamad turut menasihatkan calon untuk tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu dalaman parti.
"Kalau berkaitan parti, biarlah kepimpinan buat kenyataan, termasuk jika berkenaan isu-isu dalaman parti. Kita tidak perlu komen apa-apa.
"Kita cuma beritahu apa kita buat. Kita minta pengundi beri kepercayaan kepada kita untuk jadi wakil mereka. Beritahu juga, jika menang, Insya-Allah kita akan bekerja kuat," ujarnya.
Tambahnya, bukan mudah untuk menjadi wakil rakyat kerana mereka adalah hak rakyat, malah 60 peratus kehidupan mereka adalah untuk rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak.
Hari pengundian ialah pada 12 Ogos, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
#Mohamad Hasan #PRN #henti sedekah #wakil rakyat
;