PRN: Harga getah hanya untungkan negara luar, tidak selari dengan mata wang negara
Hilmi Malik
Ogos 9, 2023 11:15 MYT
Ogos 9, 2023 11:15 MYT
PEDU: Kerajaan dilihat gagal mengatasi isu kadar harga getah yang merundum sejak sekian lama meskipun negara ini kaya dengan pengeluaran hasil berkenaan.
Perkara itu disuarakan calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin yang mempersoalkan perkara yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat.
Lebih menyedihkan, tegas Mohd Radzi, kadar harga getah di negara ini juga tidak selari dengan kadar mata wang negara yang hanya akan menguntungkan negara luar.
“Produk yang termasyhur di dunia (getah) tetapi saya hairan mengapa harganya terlalu rendah jika nak dibandingkan dengan negara luar.
“Misalnya satu dolar kedudukan wang negara kita dalam RM4.60 atau RM4.70 tetapi harga getah kita cuma RM2.20, adakah ini bermakna negara luar beli getah kita di bawah paras satu dolar?
“Perbezaan separuh daripada kadar yang saya sebutkan jadi adakah ia munasabah (harga getah) sedangkan kita barang luar semuanya mahal tetapi harga getah masih lagi tak meningkat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar harga getah yang seterusnya mengheret golongan penoreh terus dalam keadaan terbeban.
Situasi yang memerangkap golongan penoreh katanya memaksa golongan itu untuk mencari pendapatan sampingan untuk menyara keluarga.
Selain kebajikan penoreh getah, Mohd Radzi yang juga penyandang kerusi DUN Pedu akan turut memberi tumpuan pada pembangunan hab pelancongan di kawasan berkenaan menerusi perancangan melibatkan Tasik Pedu.
Selain membantu golongan nelayan tempatan, usaha itu, katanya, akan turut memanfaatkan semua pihak terutamanya dari segi peluang pekerjaan.
Beliau bakal bertemu dengan pesaingnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri kali ini.